Anda di sini

Sepanyol sudah kembali ke prestasi yang meyakinkan

Advertisement
 Morata (kanan) menjaringkan gol menerusi tendangan penalti pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Sweden di Santiago Bernabeu, Madrid kelmarin. — Gambar AFP
GOL!: Morata (kanan) menjaringkan gol menerusi tendangan penalti pada aksi kelayakan Euro 2020 menentang Sweden di Santiago Bernabeu, Madrid kelmarin. — Gambar AFP

MADRID, Sepanyol: Sergio Ramos dan Alvaro Morata menjaringkan gol penalti ketika Sepanyol menewaskan Sweden 3-0 untuk mengekalkan permulaan sempurna dalam kempen kelayakan Euro 2020 Isnin lepas.

Sepanyol bergelut menembusi pertahanan Sweden di Santiago Bernabeu sehingga Ramos membuka jaringan pada minit ke-64 dari satu tendangan penalti selepas Sebastian Larsson menghadang satu hantaran lintang Marco Asensio dengan tangannya.

Dua gol lewat dalam tempoh dua minit melengkapkan jaringan apabila Ramos memberikan sepakan penalti kedua kepada Morata, yang dikasari dalam kotak penalti sebelum Mikel Oyarzabal melengkapkan jaringan.

Kemenangan bermakna Sepanyol kekal di tangga teratas Kumpulan F, lima mata di hadapan Sweden selepas empat kemenangan berturut-turut dari empat perlawanan.

Penguasaan awal Sepanyol menggambarkan bahawa mereka sudah kembali ke prestasi meyakinkan selepas kempen hambar dalam Liga Negara UEFA, walaupun jika tiga kemenangan terakhir menentang pasukan kerdil seperti Norway, Malta dan Faroe Islands.

Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique, tidak bersama pasukan sejak Sepanyol menewaskan Malta pada bulan Mac kerana masalah keluarga dan beliau masih tidak bersama skuad dengan tugas beliau digalas oleh penolongnya, Robert Moreno.

“Kami masih boleh meningkatkan prestasi,” kata Moreno. “Kami mencari kesempurnaan.”

Moreno mengesahkan Ahad lepas di mana beliau sentiasa berhubung dengan Luis Enrique dan Ramos menegaskan situasi itu tidak menjejaskan pemain.

Ada banyak peluang untuk menyerlah, dengan lapan pertukaran dari skuad yang membelasah Faroe Island 4-1 pada hari Jumaat, menjadikan 24 pemain beraksi pada empat perlawanan.

Dani Parejo dan Fabian Ruiz beraksi cemerlang di barisan tengah tetapi Asensio dan Isco sekali lagi gagal menyerlah di bahagian serangan dengan Rodrigo Moreno digugurkan untuk membolehkan Morata diturunkan sebagai penyerang tengah.

Penjaga gol, Kepa Arrizabalaga tidak banyak diuji tetapi penampilan ketiga berturut-turut dalam kesebelasan utama itu mencadangkan beliau bukan hanya penjaga gol sokongan kepada David de Gea tetapi berkemungkinan penjaga gol utama.

“Saya fikir di Sepanyol, kami tidak melihat banyak bola sepak luar negara,” kata Moreno. “Jika mereka melihat akhir musim Kepa, tiada siapa akan terkejut dengan keputusan kami.”

Benteng berdisiplin Sweden, yang berjaya membawa mereka ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2018, menyukarkan Sepanyol, yang hanya mampu mencemaskan mereka pada lima minit pertama.

Beberapa cubaan awal Sepanyol menyaksikan rembatan Fabian ditepis penjaga gol Sweden, Robin Olsen, yang kemudian menolak rembatan Parejo.

Sepanyol ada menjaringkan gol tetapi tidak dibenarkan pengadil yang didakwa ofsaid walaupun berkedudukan sah dengan video bantuan pengadil (VAR), hanya akan digunakan di kejohanan sebenar.

Kekebalan pintu gol Sweden akhirnya diroboh menerusi tendangan penalti apabila bola hantaran lintang Asensio terkena lengan Larsson, membolehkan Ramos membuka jaringan.

Sweden mempunyai peluang untuk mengikat kedudukan dengan cubaan Ludwig Augustinsson terkena Ramos sebelum rembatan Robin Quaison tepat ke dakapan Kepa.

Tetapi Sepanyol menamatkan saingan dengan dua gol dalam masa dua minit. Gol kedua dari tendangan penalti selepas Morata dikasari Filip Helander dengan Ramos memberikan ruang kepada Morata sendiri untuk melakukan tendangan sebelum Oyarzabal, yang menggantikan Rodrigo, melengkapkan jaringan untuk tiga mata penuh. — AFP

Advertisement