Anda di sini

Pelajar kolej didakwa ragut beg tangan wanita warga asing

Advertisement

KOTA KINABALU: Hasrat seorang pelajar kolej balik ke kampung untuk menyambut Hari Raya bersama adik-beradiknya tidak kesampaian, apabila didakwa atas tuduhan meragut beg tangan milik seorang wanita warga asing.

Suparman Usman, 23, yang menahan tangis memberitahu semasa rayuan, pada mulanya dirinya tidak tergamak melakukan perkara itu, namun keadaan membuatkannya terdesak.

"Sejak Ramadan saya bekerja sambilan, tetapi gaji kami ditahan. Oleh itu saya tergerak hati kerana benar-benar terdesak.

"Masa itu saya sangat ingin balik ke kampung dan mahu berjumpa dengan adik-beradik," katanya dan menambah beg terbabit sudah dikembalikan.

Tertuduh juga menyatakan ketiga-tiga adiknya masih bersekolah dan mereka anak yatim piatu.

Katanya dirinya ada menjalani temuduga di Genting Highlands di negeri Pahang, baru-baru ini dia ada dihubungi dan diminta untuk bekerja pada Ogos depan dalam bidang kulinari.

Suparman mengaku salah meragut beg tangan milik mangsa yang mengandungi pasport dan dompet, pada 7 Jun jam 9 malam di belakang perhentian bas berhampiran perpustakaan lama di sini.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh 14 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu dan rakannya berjalan kaki kembali ke hotel, setelah tiba di perhentian bas mereka didatangi seorang lelaki (tertuduh).

Tertuduh yang berjalan dari arah belakang terus meragut beg pengadu, pengadu cuba melawan dengan menarik kembali begnya tetapi gagal.

Beliau kemudiannya menjerit meminta pertolongan, orang awam yang mendengar segera bertindak mengejar dan menangkap tertuduh.

Tertuduh berjaya ditangkap dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan sebutan kes pada 18 Jun terhadap tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk melakukan rayuan.

Sementara menunggu tarikh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

  • oleh
  • Advertisement