Anda di sini

Pastikan projek petrokimia di Lawas manfaatkan negeri

Advertisement
SOO
SOO

KUCHING: Para pemimpin dan pembuat dasar Sarawak mesti memastikan projek pembangunan petrokimia di Lawas memberi manfaat kepada negeri ini.

Presiden Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Lina Soo berkata, Sarawak harus mendapat manfaat dari segi penyertaannya dalam rantaian nilai yang tidak terbatas.

“Sarawak mesti mendapat manfaat daripada projek seperti ini iaitu dari segi penyertaannya dalam rantaian nilai tidak hanya terhad kepada dasar kandungan tempatan yang melibatkan kontrak, pekerjaan dan perolehan.

“Sarawak juga mesti mendapat manfaat dari segi pemindahan teknologi dan latihan kepada rakyat negeri ini, pematuhan piawaian antarabangsa terhadap keperluan alam sekitar serta keselamatan semasa pelaksanaan hingga siap, pentauliahan dan operasi projek.

“Projek itu juga harus menyaksikan pemasangan teknologi maklumat terkini supaya Sarawak tahu setiap kali berlakunya kejatuhan harga minyak dan gas di pasaran,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha kerajaan negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua syarikat dari China, Beijing BECA Sci-Tech Co. Ltd dan Sinopec Engineering Incorporation.

MoU yang ditandatangani Isnin lepas untuk kerajaan negeri bersama kedua-dua syarikat dari China itu membangunkan projek petrokimia di Lawas.

“Tahniah kepada kerajaan Sarawak atas kejayaan menandatangani MoU dengan firma-firma China Beijing BECA Sci-Tech Co Ltd dan Sinopec Engineering Incorporation membangunkan kompleks bersepadu O&G (minyak dan gas) di Lawas,” katanya.

Menurut Soo, pelaburan bernilai AS$5 bilion untuk projek berkenaan, masih kecil berbanding kompleks O&G di Pengerang, Johor bernilai AS$30 bilion yang mempunyai kesan limpahan pembangunan sekitarnya seperti Iskandar, Senai Desaru dan pelabuhan-pelabuhan yang berbilion lagi.

Soo berkata, Sarawak boleh terlibat dalam keseluruhan rantaian industri O&G apabila mempunyai kilang sendiri serta mengembangkan pelbagai produk huluan dan hiliran petrokimia bagi menambah nilai empat hingga lima kali ganda kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekarang.

Ini bermakna katanya, bagi setiap O&G bernilai RM100, nilai tambah yang diperoleh bagi produk akhir ialah RM350 hingga RM500.

“Menurut laporan Petronas, Sarawak mengeluarkan sehingga 850,000 tong O&G setiap hari, tetapi Sarawak telah melalui sedikit pembangunan dan kekal negara Dunia Ketiga.

“Walaupun mengeluarkan banyak minyak dan gas untuk Petronas, 70,000 pekerja Sarawak yang memasuki pasaran pekerjaan setahun masih perlu ke Johor, Kuala Lumpur dan Singapura untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Justeru, Soo berpendapat adalah tidak masuk akal negeri yang kaya dengan minyak, tetapi semua sumber itu ‘disedut’ untuk membiayai pembangunan Tanah Melayu dan Sarawak tidak mampu ‘menyara’ dan memberi pekerjaan kepada rakyatnya sendiri.

Mengenai dua syarikat dari China itu, Soo berkata, orang Cina amat mengagumkan dan cukup berpengalaman dalam mengendalikan urusan perniagaan antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menggesa kerajaan Sarawak meletakkan pasukan yang kuat dan mendapatkan khidmat pakar-pakar O&G dalam bidang berkenaan, bukan sahaja bakat-bakat tempatan tetapi mencari pakar-pakar minyak terkenal dunia.

Ini penting katanya, untuk memastikan Sarawak mendapat perjanjian yang adil dan keuntungan maksimum daripada sumber-sumbernya sendiri.

“Minyak adalah milik Sarawak sejak pertama kali ditemui pada 1910 dan STAR akan terus berjuang untuk pemilikan 100 peratus dan hak-hak ekonomi penuh ke atas O&G kita, untuk menjadi negeri maju atau Dunia Pertama,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement