Anda di sini

M'sia, Indonesia komited isu pemuliharaan badak Sumatera

Advertisement
CHRISTINA (duduk, tiga kanan) bersama wakil yang hadir selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
CHRISTINA (duduk, tiga kanan) bersama wakil yang hadir selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

KOTA KINABALU: Malaysia dan Indonesia mempunyai komitmen yang sama dalam menangani isu kepupusan badak Sumatera, iaitu antara spesis paling terancam di dunia.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, satu memorandum persefahaman (MoU) akan dibincangkan di antara kedua-dua negara berhubung isu pemuliharaan spesies berkenaan.

Katanya, perbincangan mengenai draf MoU itu melibatkan empat pihak termasuklah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas), Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Borneo Rhino Alliance (Bora) dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia.

"Saya juga akan mengetuai delegasi Sabah ke Indonesia pada Julai depan untuk bertemu dengan pihak berkuasa negara itu mengenai MoU di antara kerajaan Republik Indonesia dan Malaysia berhubung pemuliharaan badak Sumatera.

"Kami akan berusaha untuk menyusun beberapa artikel dan perkara dalam MoU berkenaan bagi memastikan tiada perkara 'terbuka' yang dapat menimbulkan pertikaian pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat yang membincangkan isu pemuliharaan badak Sumatera di sini pada Selasa.

Christina berkata, mesyuarat itu turut membincangkan program kerjasama di antara kementerian yang terlibat di kedua-dua negara mengenai kaedah penggunaan teknologi yang membantu dalam penghasilan semula badak Sumatera.

Pihaknya juga akan memutuskan dengan lebih lanjut mengenai penetapan bagi pemilikan bersama badak Sumatera yang lahir atau dihasilkan dalam pembiakaan tawanan di Indonesia.

Selain itu, jelasnya, MoU berkenaan akan ditandatangani jika semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik hasrat WWF Malaysia untuk menyediakan sokongan dana bagi program pembiakan badak yang termasuk dalam rangka kerja MoU berkenaan.

Turut hadir, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu Krishna Djelani, Setiausaha Tetap Kepkas William Baya, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga dan Pemangku Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Noredah Othman.

  • oleh
  • Advertisement