Anda di sini

Lelaki mengaku tidak salah miliki samurai

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memiliki sebilah samurai sepanjang 18 inci mengaku tidak bersalah.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pengurusan kes pada 4 Julai terhadap Al-Shofri Sulaiman, 27, yang ditemani isterinya hadir di mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Mac jam 12.05 pagi di tepi jalan Lorong Seladang, Luyang di sini.

Jika didapati bersalah mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, boleh dikenakan penjara selama 10 tahun dan sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Siti Amirah Muhammad Ali tidak mencadangkan ikat jamin diberikan kepada tertuduh.

Bagaimanapun jika dibenarkan, beliau mencadangkan ikat jamin diberikan sebanyak RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan dan melaporkan diri di balai polis.

Al-Shofri menyatakan ingin berjumpa dengan peguamnya Henry Gudid, namun tidak hadir di mahkamah kerana perlu menyelesaikan perkara lain.

"Saya minta diberikan jaminan supaya dapat mencari wang untuk menyelesaikan kes ini.

"Semasa saya ditangkap polis peronda senjata itu ditemukan di dalam van, bukan pada saya," katanya.

Sementara menunggu kes selesai, Noor Hafizah memberikan ikat jamin sebanyak RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan, serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Inanam setiap dua minggu.

  • oleh
  • Advertisement