Anda di sini

Lelaki dipenjara 19 tahun, empat sebat rompak berkumpulan, guna dadah

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 19 tahun dan empat sebat, atas kesalahan melakukan rompak berkumpulan dan menggunakan dadah.

Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Alfitri Mahzan, 25, selepas mengaku salah atas dua pertuduhan terbabit.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dikenakan penjara selama 13 tahun dan dua sebat kerana merompak telefon pintar milik seorang lelaki berusia 20 tahun.

Kesalahan itu dilakukan bersama seorang rakannya yang masih bebas, pada 11 Mei jam 10.24 malam di hadapan kedai 99 Speedmart, Sadong Jaya di sini.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu bersama isterinya sedang menunggu rakan keluar dari kedai, tiba-tiba dua lelaki yang tidak dikenali berjalan ke arah mereka.

Tertuduh mengacukan sebilah parang ke leher pengadu dan meminta telefon pintar, sementara seorang lagi datang ke arah belakang isterinya lalu segera mencuri telefon itu lalu segera melarikan diri.

Laporan tangkapan dan rampasan senjata dibuat pada 15 Mei, susulan daripada itu kawad cam dilakukan di lokap berpusat Kepayan mendapati pengadu dapat mengenal pasti tertuduh.

Dalam kes berasingan, Mohd Alfitri yang mempunyai tiga sabitan lampau menggunakan dadah dikenakan penjara enam tahun dan dua sebat atas kesalahan sama.

Tertuduh didapati positif menggunakan Methamphetamine dan Amphetamine pada 15 Mei di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Balai Polis Kota Kinabalu di sini.

Semasa rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukumannya diringankan kerana perlu menanggung dua anak dan seorang isteri, serta ibunya seorang ibu tunggal.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry menegaskan hukuman setimpal harus dikenakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman kedua-dua kesalahan itu berjalan serentak.

  • oleh
  • Advertisement