Anda di sini

Kesukaran dialami SK Kuala Muput perlu perhatian segera

Advertisement
 SK Kuala Muput dilanda banjir pada Januari, 2018.
IMBAS KEMBALI: SK Kuala Muput dilanda banjir pada Januari, 2018.

Sumbangan Dr Charlie Dudang

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Kuala Muput adalah antara sekolah yang terpencil di Daerah Tatau, Bintulu.

Walaupun terletak lebih kurang 120km menggunakan jalan raya Sangan-Merit tetapi sekolah tersebut hanya boleh dihubungi menggunakan jalan balak dan anak Sungai Anap, dari sebuah rumah panjang berhampiran.

Perjalanan menggunakan jalan balak mengambil masa 45 minit dan berisiko tinggi apabila hari hujan. Menggunakan anak sungai atau bot pula mengambil masa 20 minit.

Malangnya, pangkalan sekolah itu tidak menggunakan jeti, sebaliknya hanya menggunakan sebatang kayu. Oleh itu pihak Kementerian Pendidikan diharap akan mengambil tindakan yang sewajarnya, membina sekolah baharu di tapak yang selamat dan dilengkapi dengan kemudahan yang sewajarnya.

SK Kuala Muput yang terletak di Sungai Anap dan muara Sungai Muput kerap kali dilanda banjir terutama pada musim tengkujuh. Untuk rekod pada awal tahun lepas (2018) sekolah itu dilanda banjir empat kali dan merosakkan 99 peratus infrastruktur, prasarana sekolah dan tidak dapat digunakan lagi.

 ‘Jeti’ SK Kuala Muput hanya berupa sebatang kayu di tepi sungai.
MENYEDIHKAN: ‘Jeti’ SK Kuala Muput hanya berupa sebatang kayu di tepi sungai.

SK Kuala Muput sekarang mempunyai 84 murid asrama dari 23 buah rumah panjang berhampiran, 24 tenaga pengajar dan sembilan staf sokongan. Sekolah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan asas seperti jana kuasa elektrik atau air bersih, hanya air daripada ‘gravity fit’ sahaja.

Manakala, kemudahan telefon dan Internet tidak disediakan sama sekali dan keadaan ini menyukarkan warga sekolah untuk berhubung dengan orang luar.

Bagaimanapun, kedaifan sekolah tersebut tidak melunturkan semangat warga sekolah tersebut untuk menunjukkan prestasi yang cemerlang setiap tahun. Baru-baru ini warga sekolah dengan kerjasama PIBG telah mengadakan Majlis Penyampaian Insentif Murid Tahun 6/2018 dengan jayanya.

Matlamat mereka mengadakan majlis tersebut ialah untuk menunaikan janji memberi insentif kepada murid-murid Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

 Tetamu jemputan dan warga sekolah bergambar bersama penerima insentif.
MEMBANGGAKAN: Tetamu jemputan dan warga sekolah bergambar bersama penerima insentif.

Selain itu juga, majlis tersebut membuktikan sokongan dan kesungguhan warga sekolah dalam meningkatkan prestasi SK Kuala Muput dalam semua bidang. Majlis seperti itu merupakan salah satu aktiviti sarana sekolah yang melibatkan warga sekolah dan penduduk setempat.

Objektif utama mengadakan majlis seperti itu ialah untuk meraikan kejayan sekolah kerana memperolehi pencapaian yang membanggakan dalam UPSR 2018 dengan peratusan 73.33% dan GPS 2.90.

Insentif sedemikian diharap mampu meningkatkan semangat murid-murid yang akan menduduki UPSR 2019 untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Di samping itu, majlis tersebut turut menghargai usaha guru-guru, staf sokongan serta murid-murid yang telah berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Mathew Banyui, wakil Menteri Kerja Raya Baru Bian. Turut hadir wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Luta Bigam dan Gilong Telasa, YDP TR Jana serta pakar motivasi terbilang Dr Charlie Dudang.

Guru Besar SK Kuala Muput Tony Madup dalam ucapannya berkata, majlis kali ini adalah yang ketujuh diadakan sejak tahun 2012.

 Tony, Luta, Charlie, Jana dan Mathew merakam kenangan di pejabat Tony.
SEPAKAT: Tony, Luta, Charlie, Jana dan Mathew merakam kenangan di pejabat Tony.

Katanya, beliau bangga kerana dana insentif yang diberikan kepada murid-murid adalah inisiatif dan kutipan daripada guru-guru selain sokongan PIBG sekolah itu sendiri.

Katanya, setiap tahun mereka mengumpul dana dan memberi insentif kepada murid-murid sehingga mencecah ribuan ringgit. Pada tahun 2012 sebanyak RM3,000 telah diberikan sebagai insentif, 2013 (RM5,683), 2014 (RM5,705), 2015 (RM11,288), 2016 (RM2,095), 2017 (RM16,628) dan 2018 (RM7,282.80). Keseluruhannya, sejak 2012, SK Kuala Muput telah memberi insentif sebanyak RM51,681.80 kepada penerima.

Pada tahun lepas seramai 15 murid menerima insentif daripada guru-guru SK Kuala Muput, mengikut keputusan peperiksaan UPSR masing-masing.

Bagi pihak PIBG, Jana telah memberi penghargaan kepada semua guru kelas tahun enam  kerana berjaya mengekalkan prestasi cemerlang peperiksaan UPSR sekolah itu dan berharap mereka akan mengekalkan prestasi pada masa akan datang.

Matthew dalam ucapannya pula mengumumkan sumbangan kewangan kepada tabung PIBG sebanyak RM5,000 dan bantuan buku rujukan untuk sekolah tersebut.

Advertisement