Anda di sini

Kerajaan akan kurangkan proses permohonan pelaburan

Advertisement
 Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Dr Mahathir Mohamad semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Bangunan Perdana Putra semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jumlah proses bagi permohonan pelaburan akan dikurangkan dalam usaha untuk mempercepatkan kelulusan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini, beliau berkata peniaga dan pelabur berdepan kesukaran berikutan mereka perlu melalui proses yang panjang dan banyak sebelum mendapat kelulusan untuk melabur.

“Kami melihat peniaga dan pelabur mendapati sukar untuk mendapat kebenaran untuk melabur dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Kami mendapati terdapat sehingga 60 proses yang perlu dilalui untuk pembinaan, sebagai contohnya,” katanya.

Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar telah diarahkan untuk mengkaji dan mengurangkan jumlah proses itu dan begitu juga agensi yang terlibat dalam meneliti cadangan pelaburan.

Ini, katanya akan mengurangkan masa yang diambil bagi kelulusan dalam sektor berkaitan perindustrian dan pembinaan.

Dr Mahathir memberikan contoh pemohonan bagi projek pembinaan perumahan yang mengambil masa sehingga tiga tahun untuk kelulusan, yang menyebabkan pemaju perlu menanggung kos tinggi.

“Semua ini akan dikaji dan KSN telah ditugaskan untuk mengurangkan (proses) kelulusan yang diperlukan dan proses memberi kelulusan bagi setiap kes,” kata Dr Mahathir.

Sebagai contoh, beliau berkata apabila sesuatu projek memerlukan carta aliran kerja, agensi yang menguruskan carta itu perlu dikenal pasti dan disenaraikan.

 “Jika agensi telah berikan kelulusan, mereka hanya perlu tandakan, mereka tidak perlu ambil tahu sama ada agensi lain telah beri kelulusan ataupun tidak, mereka hanya beri kelulusan yang membabitkan bidang mereka sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Urus Setia Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dalam kenyataan yang diedarkan bersempena mesyuarat semalam berkata, majlis bersetuju menghidupkan semula Majlis Produktiviti Negara (NPC) bagi menetapkan panduan dan hala tuju strategik serta memacu agenda produktiviti negara secara menyeluruh.

Katanya keanggotaan NPC akan disusun semula supaya keahliannya terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan berkepakaran untuk mengenal pasti isu dan masalah produktiviti di semua peringkat.

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Eksekutif (Exco) EAC telah ditubuhkan untuk memandu analisis ke atas isu semasa yang dikenal pasti dan mengemukakan cadangan penyelesaian untuk pertimbangan EAC.

Exco EAC itu diketuai Pengerusi Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang juga bekas Gabenor Bank Negara.

Kenyataan itu juga menyebut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi telah memulakan proses penyediaan pelan pembangunan negara, Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2021-2025 yang berpaksikan agenda kemakmuran bersama.

Katanya, sesi libat urus bersama pelbagai pihak sedang dan akan dilaksanakan bagi menentukan pelan pembangunan tersebut bersifat menyeluruh dan mencapai matlamat. — Bernama

Advertisement