Anda di sini

Kemiskinan bukan alasan halang anak melanjutkan pelajaran, kata Dr Charlie

Advertisement
 Charlie memberi ceramah dan berinteraksi dengan hadirin.
PAKAR MOTIVASI: Charlie memberi ceramah dan berinteraksi dengan hadirin.

“JANGAN menjadikan faktor kemiskinan sebagai alasan untuk tidak menghantar anak-anak kita ke peringkat seterusnya,” demikian kata pakar motivasi terkenal Dr Charlie Dudang pada Majlis Penyampaian Insentif UPSR 6/2018 Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muput, Tatau baru-baru ini.

Beliau menyeru agar ibu bapa memberi kerjasama kepada warga sekolah bagi  memastikan anak-anak mereka berjaya sampai ke menara gading dan tidak ada yang tercicir daripada menyambung persekolahan mereka ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya.

Charlie turut berkongsi pengalaman bagaimana beliau mengatasi semua halangan semenjak dari bangku sekolah rendah lagi hingga ke menara gading tanpa sokongan ibu bapa tetapi hanya dibiayai oleh datuk dan nenek yang telah tua.

Selain itu, Charlie juga menyatakan rasa bangganya dengan komitmen warga SK Kuala Muput dan PIBG mengumpulkan dana, memberi insentif dan mengadakan program ceramah motivasi untuk pelajar.

Sebagai sokongan kepada warga SK Kuala Muput, Charlie mengumumkan akan turut memberi insentif kepada pelajar cemerlang seperti yang pernah beliau lakukan di sekolah-sekolah lain yang pernah beliau sampaikan ceramah motivasi.

Bagi pihak ibu bapa, mereka bangga dan menghargai kehadiran Charlie bagi memberikan sokongan moral kepada mereka walaupun beliau sibuk dengan tugas harian.

Walaupun Charlie berceramah di bawah rumah guru, tempat terbuka dan tanpa dewan, ia  tidak melunturkan semangat khalayak yang mendengar ceramah beliau.

“Selama ini kami hanya mendengar suara beliau melalui radio, tetapi kali ini kami amat berpuas hati dapat berjumpa, berjabat tangan dan bergambar dengan Charlie dan ternyata orangnya sangat peramah sekali,” kata Tuai Rumah Jana.

Selain menegaskan kepentingan pendidikan, Charlie juga menyentuh tentang sosial ekonomi penduduk pedalaman dan gejala penyakit sosial seperti berjudi, minum minuman keras, merokok dan lain-lain yang boleh merosakkan bangsa dan negara.

Advertisement