Anda di sini

Kembara lasak permotoran serlah potensi antarabangsa

Advertisement
PARA peserta kembara permotoran 27km.
PARA peserta kembara permotoran 27km.

KOTA MARUDU: Lebih 130 peserta menjayakan Enduro Ride Adventure Jamboree di sini pada Ahad.

Ia menyerlahkan potensi cabaran lasak sukan permotoran itu menjadi acara tahunan rekreasi kembara alam peringkat antarabangsa.

Para peserta datang dari pelbagai tempat melibatkan Australia, Sebatik Tawau–Indonesia serta Ranau, Putatan, Pitas, Kudat, Papar, Tenom, Sandakan, Keningau dan Kota Marudu.

“Sukan lasak permotoran dapat menarik ramai pelancong ke lokasi penganjuran dan mampu memberi impak kepada pulangan ekonomi,” kata Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu Majamis @Haji Mohd Jeffrey Timbuong.

Beliau yang juga ketua bahagian Parti Warisan Sabah Kota Marudu berkata pihaknya menyambut baik sekiranya sukan permotoran itu dapat dijadikan acara tahunan.

Ketika melepaskan para peserta, Majamis yakin Kota Marudu mampu menjadi venue utama pengembaraan lasak bermotor bagi memberi ruang kepada para pencinta sukan lasak bermotor menikmati suasana rimba, sungai, fauna dan flora.

Para peserta memulakan kembara lasak bermotor 27km itu di padang SRA Kg Togop, Tagaroh.

Dari Kg Togop, para peserta menyusur laluan ke Kg Tagayamut melewati Hutan Simpan Taman Negara Kinabalu ke Kg Nalapak Kota Belud, Sungoi Darat lalu balik semula ke Togop.

“Laluan mencabar ialah trek Borneo Safari di mana keadaan cuaca yang tidak menentu menjadikan laluan itu dipenuhi lumpur berbatu dan kayu reput,” kata Pegawai Publisiti Urusetia Penganjur Benjohn Simbaku.

Pengerusi Penganjur Ringo Tom berpuas hati dengan sambutan yang diterima di samping kepuasan yang ditunjukkan para peserta selepas menyempurnakan kembara.

“Cabaran permotoran 27km ini amat menguji kekuatan fizikal dan mental dalam meredah hutan, sungai dan hujan,” katanya dan menambah, terdapat motosikal yang mengharungi detik cemas diangkut kenderaan pacuan empat roda dan hanya dapat keluar dari hutan kira-kira jam 3 subuh.

Menurutnya pasukan akhir terpaksa bermalam di tepi sungai menunggu banjir surut dan hanya dapat balik ke destinasi akhir kembara keesokannya.

AKSI bangga para peserta selesai kembara.
AKSI bangga para peserta selesai kembara.

Ardindo Lee, 35, dari Australia yang terakhir sampai ke garisan penamat berkata meski mencabar namun pengembaraan beramai-ramai menyeronokkan dan dapat menikmati pemandangan alam semulajadi.

Nelton Paulus, 53, guru dari Tamparuli menyifatkan kembara itu dapat menyegarkan minda dengan menghirup udara segar di samping merasai suasana hutan tebal yang belum terusik.

Majamis berharap kembara itu dapat diteruskan sebagai satu produk tarikan ramai ke daerah ini.

  • oleh
  • Advertisement