Anda di sini

Kegiatan seludup rokok tumpas

Advertisement

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok bernilai hampir RM500,000 di Road Check Points (RCP) Jalan Tawau-Kalabakan, di sini pada Selasa.

Utusan Borneo difahamkan, kesemua rokok terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk diedar dan dipasarkan di negeri ini khususnya di Daerah Keningau.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata dua suspek yang terdiri daripada lelaki warga tempatan turut ditangkap.

PGA merampas kira-kira 7,620 karton rokok seludup pelbagai jenama.
PGA merampas kira-kira 7,620 karton rokok seludup pelbagai jenama.

“Rampasan ini melibatkan kira-kira 7,620 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM464,800,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata kedua-dua suspek berumur 20 dan 42 tahun itu ditangkap oleh sepasukan tujuh anggota PGA yang bertugas semasa menjalankan pemeriksaan antara jam 3-4 pagi.

Menurutnya, kedua-dua suspek diberkas semasa menaiki dua van mencurigakan secara berasingan yang datang dari arah Tawau dan disyaki dalam perjalanan ke Keningau.

“Hasil pemeriksaan kita menemukan rokok-rokok terbabit yang dipercayai tidak mempunyai sebarang kelulusan cukai kastam dan turut membawa kepada penahanan dua van terlibat.

“Kedua-dua van terbabit dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya serta mengesahkan tangkapan dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement