Anda di sini

Henti operasi penanaman semula hutan di tanah NCR

Advertisement
MUNAN LAJA
MUNAN LAJA

SIBU: Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Munan Laja menggesa syarikat swasta menghormati permohonan Jawatankuasa Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Pemakai Menoa dan Pulau Galau (PMPG) Sungai Bangkit, Katibas Tengah di Song agar menghentikan operasi penanaman semula hutan di kawasan tanah NCR.

Munan berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan berlakunya konflik dengan pemilik tanah NCR di kawasan itu.

Katanya, sebagai penduduk tempatan beliau berasa simpati dengan nasib yang menimpa pemilik tanah sehingga terpaksa keluar beramai-ramai dan berkumpul di Batu 30, di Sungai Katibas, Song baru-baru ini bagi membincangkan perkara berkaitan penanaman semula hutan oleh syarikat berkenaan di kawasan tersebut.

"Apa yang mereka cuba utarakan adalah benar. PMPG dan NCR mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi oleh syarikat-syarikat berkenaan dan pihak berkuasa harus menguatkuasakan udang-undang tersebut.

"Sebanyak 1 juta hektar tanah di bahagian Kapit, yang sebahagiannya adalah PMPG dan NCR, telah diberikan kepada 11 buah syarikat untuk tujuan aktiviti penanaman hutan semula," ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, apabila terdapat aktiviti tertentu yang berkaitan dengan PMPG dan NCR, adalah penting dasar-dasar berkenaan diwujudkan dan ia wajib dipatuhi.

"Dalam hal ini tidak ada polisi tertentu dibuat tetapi aktiviti penanaman semula hutan sudah mula dilaksanakan.

"Jadi, kepada siapa mereka (pemilik tanah) meminta pertolongan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi," ujar beliau lagi.

Justeru, Munan mendesak pihak berkenaan supaya menyelesaikan konflik tersebut agar kedua-dua pihak mencapai matlamat masing-masing dalam situasi menang-menang.

Katanya, SWP dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan dan undang-undang yang digunakan dapat melindungi hak mereka.

  • oleh
  • Advertisement