Anda di sini

Harimau Malaya gah belasah Timor Leste 12-2

Advertisement
Pemain Harimau Malaya Muhammad Akhyar Rashid (dua, kiri) cuba melepasi pemain Timor-Leste Joao Panji Soares pada Perlawanan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Gambar Bernama
Pemain Harimau Malaya Muhammad Akhyar Rashid (dua, kiri) cuba melepasi pemain Timor-Leste Joao Panji Soares pada Perlawanan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjaringkan hatrik ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 5-1, pada aksi kedua, Kelayakan Pusingan Pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa malam.

Selepas mengalahkan pasukan yang sama 7-1 dalam aksi pertama pada Jumaat lepas, skuad Harimau Malaya sekali lagi mempamerkan prestasi mengagumkan pada perlawanan timbal balik, dengan rekod agregat 12-2 ke atas pasukan di ranking ke-195 dunia itu, sekali gus menceriakan 12,700 penonton malam itu.

Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe yang dijangka menurunkan barisan pemain baharu, selepas meraih kemenangan besar pada aksi pertama, hanya membuat empat pertukaran dengan membawa masuk penjaga gol Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, Muhammad Syazwan Andik (pertahanan), Muhammad Akhyar Rashid (pemain sayap) dan Muhammad Shahrel.

Pasukan ke-168 dunia itu bermula dengan baik selepas Muhammad Shahrel menjaringkan gol hasil hantaran Muhammad Akhyar pada minit ke-11 dan tandukan pemain Perak itu, pada minit ke-17.

Timor Leste mendapat peluang keemasan mengurangkan defisit jaringan apabila Mohd Ifwat menjatuhkan Rufino Walter Gama pada minit ke-29. Namun penjaga gol Kedah itu berjaya menebus kesilapannya apabila menyelamatkan sepakan penalti yang diambil ketua pasukan Joao Pedro da Silva Freitas.

Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh berjaya menamatkan kemarau jaringan beliau bersama pasukan negara, selepas menyudahkan hantaran lintang Muhammad Syazwan Andik pada minit ke-37, sebelum Muhammad Akhyar menambah derita Timor Leste dengan jaringan pada minit ke-54.

Sejurus gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas Danilson Conceicao Araujo menjatuhkan Muhammad Akhyar, Muhammad Shahrel menebus kekecewaan itu dengan menjaringkan gol ketiga peribadinya pada minit ke-64, menerusi rembatan kaki kiri yang mengelirukan penjaga gol Fernandes Aderito Raul.

Timor Leste memperoleh gol sagu hati pada minit ke-72, melalui tandukan Rufino hasil serangan balas daripada gerakan Pedro.

Setakat ini kejayaan Malaysia menumpaskan Timor Leste 12-2 secara agregat itu, ialah kemenangan terbesar dalam aksi kelayakan pusingan pertama musim ini. Sebelum ini Guam berjaya menewaskan Bhutan 5-1 secara agregat.

Gol Harimau Malaya pada aksi pertama kelayakan itu dijaringkan Corbin Ong Lawrence pada minit ke-11, Muhammad Shahrel (23’), Norshahrul Idlan Talaha (43’), Muhammad Safawi Rasid (45’ dan 59’), Mohd Faiz Nasir (78’) dan Muhammad Akhyar (89’), manakala gol tunggal Timor Leste menerusi ketua pasukan Pedro pada minit ke-52.

“Secara keseluruhannya, sasaran kami adalah untuk layak ke peringkat seterusnya, dan kami berjaya mencapainya. Segala pengorbanan pemain ketika musim perayaan dan bulan Ramadan telah membuahkan hasil, mereka telah berikan yang terbaik.

“Tentunya pada hari ini, saya amat berpuashati dengan prestasi keseluruhan pemain, sikap mereka memasuki perlawanan dan bermain dengan penuh konsentrasi. Kita perlu bersedia untuk perlawanan peringkat kumpulan berikutnya,” kata Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan.

Enam pasukan daripada pusingan pertama, termasuk Malaysia akan disertai 34 pasukan ranking tertinggi di Asia pada pusingan berikutnya, termasuk juara Asia dan tuan rumah Piala Dunia, Qatar.

Pada pusingan kedua, dijadualkan September, 40 pasukan akan diundi kepada lapan kumpulan dengan lima pasukan setiap satu. Hanya pemenang kumpulan dan empat pasukan di tempat kedua terbaik, akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan juga slot automatik ke Piala Asia.

Undian pasukan bagi pusingan kedua dijadualkan diadakan di Doha, Qatar, bulan hadapan. - Bernama 

Advertisement