Anda di sini

‘Hadestown’ menang besar di Anugerah Tony

 Barisan pelakon dan kru muzikal ‘Hadestown’ menerima anugerah Muzikal Terbaik.  — Gambar Reuters
MENANG BESAR: Barisan pelakon dan kru muzikal ‘Hadestown’ menerima anugerah Muzikal Terbaik. — Gambar Reuters

SEBUAH muzikal yang diilhamkan oleh mitologi Yunani dan sebuah pementasan mengenai konflik di Ireland Utara telah menang besar pada Ahad lepas di acara Anugerah Tony, penghormatan tertinggi dalam teater Amerika.

‘Hadestown’ merupakan pilihan utama di anugerah tahunan ke-73 itu dengan 14 pencalonan dan pada akhirnya, ia membawa pulang lapan anugerah, termasuk muzikal terbaik.

Pertunjukan itu, versi moden bagi mitos alam ghaib Orpheus dan Euridyce dengan muzik jazz dan folk, tiba di Broadway pada April selepas perjalanan selama 13 tahun yang luar biasa.

Daripada asalnya pada 2006 di Vermont sebagai sebuah pertunjukan muzikal tanpa koreografi, ia telah menjadi sebuah album yang popular dan sebuah pertunjukan luar Broadway di London dan Kanada.

“Jika Hadestown ada sebarang maksud, ia adalah perubahan boleh berlaku. Dalam masa gelap, musim bunga akan datang semula,” kata penerbit Mara Isaacs ketika dia menerima anugerah Tony.

‘The Ferryman’, yang ditulis oleh Jez Butterworth, juga antara pilihan utama pada tahun ini dengan sembilan pencalonan dan akhirnya memenangi empat anugerah Tony, termasuk pementasan terbaik.

Diarah oleh Sam Mendes, yang memenangi anugerah pengarah terbaik bagi sebuah pementasan, ia menceritakan sehari dalam kehidupan sebuah keluarga luar bandar di Ireland Utara pada 1981 di kemuncak ‘The Troubles’.

Barisan pelakonnya yang ramai dan berwarna-warni termasuk seorang bayi dan seekor angsa.

Pelakon British, James Corden,  juruacara di acara itu yang disiarkan dari Radio City Music Hall, membuka acara dengan memuji kebaikan teater secara langsung berbanding striming.  

Sementara lawaknya tidak berunsur politik, peserta lain menyampaikan pendapat politik sewaktu acara selama tiga jam itu.

Bryan Cranston, yang memenangi anugerah pelakon utama terbaik dalam pementasan bagi wataknya dalam ‘Network’, yang diadaptasikan daripada filem satira pada 1976 mengenai seorang pembaca berita TV, mengabdikan anugerahnya kepada “semua wartawan tulen di seluruh dunia”.

“Media bukan musuh rakyat. Sikap demagog adalah musuh rakyat,” kata bintang ‘Breaking Bad’ itu, yang merujuk kepada Presiden Donald Trump yang kerap mengkritik media yang tidak memihak kepadanya sebagai “musuh rakyat”.

Sementara dunia hiburan kerap dituduh merendah-rendahkan sumbangan wanita dan golongan minoriti, Broadway cuba membetulkan imbangan itu sedikit pada Ahad lepas.

Aktres Ali Stroker menjadi pengguna kerusi roda pertama untuk memenangi anugerah Tony bagi wataknya dalam muzikal ‘Oklahoma!’ tetapi Rachel Chavkin, pengarah ‘Hadestown’, merupakan wanita tunggal yang mengarahkan sebuah muzikal pada tahun ini.

“Terdapat begitu ramai sekali wanita yang bersedia, begitu ramai artis berkulit gelap yang bersedia,” kata Chavkin dalam ucapan penerimaannya.

“Ia bukan kerana kurang persediaan, ia adalah kerana kurang imaginasi oleh sebuah sektor yang sepatutnya membayangkan bagaimana dunia ini sepatutnya.” — AFP