Anda di sini

Fasa ke-4 operasi anti-rabies dari 20 hingga 25 Jun

Advertisement
Uggah (tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies hari ini. Turut kelihatan Ik Pahon (kiri).
Uggah (tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies hari ini. Turut kelihatan Ik Pahon (kiri).

KUCHING: Operasi anti rabies fasa keempat yang merangkumi Daerah Serian dan Simunjan akan dilancarkan pada 20 hingga 25 Jun ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai rabies di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini wabak rabies yang diisytiharkan sebagai Bencana Peringkat 2 di Sarawak telah meragut 17 mangsa sejak Mei 2017.

Uggah berkata seorang mangsa yang disyaki dijangkiti rabies masih menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak.

"Ia sesuatu yang menyedihkan apabila kes positif manusia masih lagi berlaku.

"Kita mesti dan akan mengambil perkara ini dengan serius terutama berkaitan dengan operasi anti rabies yang sedang berlaku atau pada masa akan datang," katanya yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri.

Sementara itu, Uggah berkata jawatankuasa itu telah menjalankan tiga fasa operasi anti rabies, meliputi Daerah Lundu, Bau, Padawan, Samarahan dan Kuching.

"Kita berjaya menghapuskan 5,867 anjing dan 38 kucing liar. Secara umumnya, saya percaya kami berjaya mencapai objektif walaupun kami menghadapi beberapa kelemahan, cabaran dan bantahan.

"Saya berharap operasi yang akan datang akan dilakukan dengan lebih mantap dan berkesan," katanya.

Untuk rekod, operasi di Serian dijangka meliputi 257 kampung dengan 18,837 isi rumah.

Dianggarkan 7,817 anjing milik kepada 3,900 pemilik dan 552 adalah anjing liar disasarkan untuk operasi.

Setakat tahun ini, 25 anjing diberi suntikan vaksin manakala tahun lepas secara keseluruhan 9,457 anjing telah divaksin termasuk di daerah Tebedu.

Bagi Daerah Simunjan pula, operasi akan meliputi 144 kampung dan 12 ladang kelapa sawit.

Daerah berkenaan dikatakan mempunyai kira-kira 104 anjing liar manakala 257 anjing lain belum divaksin.

Hadir sama mesyurat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik; Pengarah Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Datuk  Dr Chai Khin Chung; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Adrian Susin Ambud dan Superintenden Ang Siaw Aun yang mewakili Pesuruhjaya Polis Negeri.

  • oleh
  • Advertisement