Anda di sini

Dua lelaki Indonesia cuba seludup 68 tong gas ditangkap

Advertisement
 Kedua-dua warga Indonesia yang ditahan untuk siasatan lanjut.
DICEKUP: Kedua-dua warga Indonesia yang ditahan untuk siasatan lanjut.

SERIAN: Cubaan dua lelaki warga Indonesia menyeludup keluar 68 tong gas petroleum cecair (LPG) gagal apabila ditahan pasukan Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (RRD) di Tebedu Inland Port di sini sekitar jam 7.44 pagi kelmarin.

Ketua Kompeni C 10 RRD Kapten Jorani Dawum berkata, lima anggotanya sedang membuat rondaan ‘Operasi Awas’ dan terserempak dengan tiga van kira-kira 600 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

“Mereka melihat beberapa individu sedang melakukan kerja memindahkan tong gas dan curiga dengan aktiviti itu, anggota terus menghampiri ketiga-tiga van berkenaan.

“Bagaimanapun, dua daripada van tersebut segera beredar dengan dipandu laju ke arah Indonesia selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Dua suspek berusia 31 dan 34 tahun yang tidak sempat melarikan diri kemudian ditahan bersama van yang sarat dengan tong gas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek membawa tong LPG tanpa sebarang dokumen kebenaran atau lesen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kedua-dua suspek bersama van dan 68 tong gas seberat 14 kilogram setiap satu diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Tebedu dan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM37,000,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement