Anda di sini

Bursa Malaysia sasar tarik penyertaan lebih ramai pelabur runcit menerusi aplikasi baharu

Advertisement
 Ketua Pengembangan dan Pemasaran Perniagaan Utama UOB Kay Hian, Jean Soo menunjukkan aplikasi Bursa Malaysia ‘Anywhere’ yang baharu dilancarkan semalam. — Gambar Bernama
DILANCAR: Ketua Pengembangan dan Pemasaran Perniagaan Utama UOB Kay Hian, Jean Soo menunjukkan aplikasi Bursa Malaysia ‘Anywhere’ yang baharu dilancarkan semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd menyasar menarik lebih ramai pelabur runcit ke dalam pasaran ekuiti dengan pelancaran ‘Bursa Anywhere’, aplikasi perkhidmatan elektronik depositori mudah alih pertama di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata ketika ini, nisbah antara pelabur institusi dan runcit dalam pasaran ekuiti Malaysia berada pada 75:25.

“Kami mahu melihat nisbah pada 70 peratus bagi pelabur institusi dan 30 peratus bagi pelabur runcit bagi tempoh jangka panjang.

“Itu adalah sasaran dalaman kami dan apa yang kami galakkan,” katanya pada taklimat media selepas majlis pelancaran aplikasi itu, di sini, semalam.

Bursa Anywhere adalah aplikasi mudah alih yang membolehkan pelabur individu mengakses pelbagai perkhidmatan depositori pusat (CDS) di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Ia menyediakan pemantauan menyeluruh akaun CDS pelabur, menunjukkan nilai pasaran kepada pasaran portfolio mereka, dan menjadi satu tempat bagi pelabur runcit untuk pergi dan menguruskan semua perkara di Bursa Malaysia,” kata Muhamad Umar.

Syarikat itu menyasar menyediakan pengalaman mudah alih baharu kepada hampir dua juta pemegang akaun CDS di Malaysia, katanya.

Mengenai prospek pasaran saham tempatan, beliau berkata asas Malaysia kekal kukuh meskipun keadaan luaran yang tidak menentu disebabkan oleh ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Sudah tentu kita masih mempunyai daya tarikan berbanding pasaran sedang pesat membangun lain, kerana pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang kukuh, kerajaan yang stabil dan sistem perbankan yang mantap adalah pemacu utama pasaran,” katanya.

Beliau percaya lebih banyak tawaran awam permulaan (IPO) akan dilaksanakan tahun ini berbanding tahun sebelumnya, walaupun penilaian IPO akan masih bergantung kepada syarikat yang membuat penyenaraian.

Pada 2018, Bursa Malaysia mencatatkan 22 IPO berbanding 14 penyenaraian pada 2017, tetapi jumlah yang dikumpul adalah rendah sebanyak RM633.12 juta daripada RM7.38 bilion pada 2017, kerana kebanyakan IPO pada 2018 adalah penyenaraian pasaran LEAP.

Setakat ini, terdapat lapan penyenaraian tahun ini di bursa tempatan termasuk lima penyenaraian pasaran LEAP, dua di pasaran ACE dan satu di Pasaran Utama.

Menurut laman web Bursa Malaysia, akan ada tiga lagi penyenaraian tidak lama lagi, iaitu HPMT Holdings Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran Utama esok, diikuti Greatech Technology Bhd dan Mestron Holdings Bhd, yang akan disenaraikan di Pasaran ACE masing-masing pada 13 Jun dan 18 Jun. — Bernama

Advertisement