Anda di sini

Bekas wanita pertama Korea Selatan meninggal dunia akibat kanser hati

Advertisement
LEE
LEE

SEOUL: Balu mendiang presiden Korea Selatan, Kim Dae Jung, yang terkenal kerana memperjuangkan hak wanita dan terlibat dalam dasar ‘Sinaran Matahari’ suaminya untuk memperbaiki hubungan dengan Korea Utara, meninggal dunia pada usia 96 tahun.

Lee Hee Ho, yang sebelum ini bertarung dengan kanser hati, meninggal dunia di Seoul kelmarin, kata pembantunya.

Dianggap sebagai salah seorang perintis hak wanita di Korea Selatan dan teman seumur hidup mendiang presiden Kim, Lee secara aktif menyokong karier po-litik suaminya yang bergolak dan cemerlang, termasuk dihukum mati, diculik dan memenangi Hadiah Ke-amanan Nobel.

Pada waktu ketika ramai wanita di Korea Selatan mempunyai akses terhad kepada pendidikan, Lee belajar di institusi terkemuka di negara itu, Universiti Kebangsaan Seoul, dan kemudian di Amerika Syarikat, sebelum beliau menubuhkan beberapa organisasi hak wanita di Seoul.

Salah satu kempennya yang terawal adalah untuk membantah ahli politik lelaki yang memiliki gundik, amalan biasa di Korea Selatan pada zaman 1950-an, apabila isteri selalunya dipaksa meninggalkan anak-anak mereka apabila suami mereka memilih untuk tinggal bersama perempuan simpanan mereka.

“Hari ini kita mengucapkan selamat jalan kepada seorang individu hebat yang mengabdikan seluruh hidupnya kepada kaum wanita,” Presiden Korea Selatan, Moon Jae In, yang sedang melawat Finland, menyebut dalam satu kenyataan.

“Beliau turut mengambil bahagian dalam pergerakan prodemokrasi dan memainkan banyak peranan dalam penubuhan Kementerian Kesamarataan Jantina di bawah pentadbiran suami-nya.”

Suami Lee paling diingati kerana dasar beliau yang mahu menjalin hubungan baik dengan negara senjata nuklear Korea Utara sehingga membawa kepada sidang kemuncak bersejarah dengan Kim Jong Il, mendiang bapa Kim Jong Un, pada 2000.

Dasar itu amnya diabaikan apabila pentadbiran konservatif mengambil alih kuasa di Korea Selatan pada 2008 dan hubungan antara sempadan menjadi buruk.

Lee melakukan lawatan kemanusiaan yang amat jarang sekali dilakukan ke Korea Utara pada 2015, kira-kira lima tahun selepas kematian suaminya, tetapi tidak sempat berjumpa dengan pemimpin Korea Selatan, Kim Jong Un dalam lawatan tersebut, tetapi ada berbuat demikian dalam satu lawatan sebelum itu. — AFP

Advertisement