Anda di sini

Abim rayu tindakan segera pindah Orang Asli ke tempat lebih selamat

 Seorang kanak-kanak suku kaum Batek berehat di sebuah pondok di penempatan asal mereka, di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh selepas menerima rawatan perubatan dari Jabatan Kesihatan Daerah Gua Musang semalam. — Gambar Bernama
BERISIKO: Seorang kanak-kanak suku kaum Batek berehat di sebuah pondok di penempatan asal mereka, di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh selepas menerima rawatan perubatan dari Jabatan Kesihatan Daerah Gua Musang semalam. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia Centre (IOA) Kok Lanas di sini merayu tindakan segera termasuk memindahkan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh ke tempat selamat bagi mengelak penularan penyakit radang paru-paru atau pneumonia.

Anggota Lembaga Bahagian Pembangunan Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) Ghazali Ibrahim berkata, langkah itu penting kerana sehingga kini punca kematian suku kaum Orang Asli di perkampungan tersebut masih belum dikenal pasti.

“Setakat kami berulang-alik sebelum ini, kami tidak pernah terdengar masalah kesihatan disebabkan oleh air, mesti ada punca, tetapi rasanya mereka semua perlu dipindahkan dari kawasan itu.

“Kampung Kuala Koh adalah salah sebuah kampung Orang Asli yang berada di dalam kalendar lawatan atau seliaan IOA,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Ghazali berkata IOA sudah beberapa kali pergi ke Kampung Kuala Koh dan pernah membekalkan anak pokok pisang kepada suku berkenaan untuk ditanam.

Beliau berkata, IOA merancang untuk meninjau keadaan masyarakat Orang Asli di perkampungan tersebut namun tidak dapat berbuat demikian selepas dinasihatkan Jabatan kesihatan Kelantan supaya tidak memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan.

Katanya, suku Batek merupakan masyarakat Orang Asli yang agak ketinggalan daripada segi pembangunan dan kehidupan mereka agak primitif berbanding suku Temiar yang turut menghuni kawasan pedalaman Gua Musang.

“Biasanya IOA bawa kumpulan pelajar pusat pengajian iaitu PULDOA untuk mengadakan program di Kuala Koh dengan setiap keluarga akan diberi satu hamper yang terdiri daripada beberapa bahan keperluan harian, yang kita panggil ‘Cak Rakyat’ iaitu jamuan makan bagi seluruh penduduk kampung.

“IOA juga pernah menjalankan program dengan sekumpulan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan selain pihaknya turut mengadakan kelas Fardu Ain seperti mengajar bacaan surah Al-Fatihah kepada Orang Asli yang memeluk Islam,” katanya.

Suku Orang Asli Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas. — Bernama