Anda di sini

Seorang maut, helikopter terhempas ketika mendarat di bumbung pencakar langit di Manhattan

Advertisement
Bangunan di mana helikopter terhempas di Manhattan pada Isnin. - Gambar AFP

NEW YORK: Seorang maut apabila sebuah helikopter terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan di bumbung sebuah bangunan pencakar langit di Manhattan, New York City pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.

Nahas berlaku pada kira-kira pukul 1.45 tengah hari waktu tempatan di 787 7th Avenue di Manhattan, sebuah bangunan pejabat lebih 50 tingkat di tengah-tengah bandar raya itu.

Kebakaran yang berlaku susulan nahas itu berjaya dikawal dengan pantas, kata Jabatan Bomba New York City.

Petugas kecemasan telah bergegas ke tempat kejadian manakala beberapa jalan yang berhampiran telah ditutup.   

Orang ramai yang bekerja di bangunan itu memberitahu media bahawa mereka merasakan bangunan itu bergegar apabila helikopter tersebut terhempas.

Datuk Bandar New York City Bill de Blasio dalam satu sidang akhbar berkata nahas itu tidak menampakkan sebarang ciri keganasan atau ancaman kepada penduduk New York ketika ini, dan tiada penumpang lain dalam helikopter malang terbabit, namun beliau menegaskan bahawa rumusan tersebut adalah berdasarkan "maklumat awal."

Masih tidak jelas sama ada helikopter yang terhempas itu memiliki kebenaran untuk terbang di pusat bandar raya atau sama ada keadaan cuaca yang berkabus dan hujan telah menyebabkan nahas tersebut berlaku.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah mengesahkan bahawa helikopter yang terhempas itu adalah Agusta A109E dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara akan bertanggungawab terhadap siasatan nahas tersebut. - Bernama 

Advertisement