Anda di sini

SAE buka bengkel radom pintar pertama negara

Advertisement
 Amirudin (kanan) bersalaman dengan Raymond pada majlis perasmian Workshop Smart Radome di Sepang Aircraft Engineering semalam. — Gambar Bernama
TEKNOLOGI PINTAR: Amirudin (kanan) bersalaman dengan Raymond pada majlis perasmian Workshop Smart Radome di Sepang Aircraft Engineering semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Anak syarikat Airbus, Sepang Aircraft Engineering (SAE) membuka bengkel membaiki radom (muncung kepala pesawat) pintar pertama Malaysia dan menyasar melakukan kira-kira 200 kerja pembaikan tahun ini.  

Bengkel radom pintar itu merupakan inisiatif Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia, yang mana Airbus adalah rakan pengasas, dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).  

Ketua Pegawai Eksekutif SAE Raymond Lim berkata dengan menggunakan teknologi pintar dan pendigitalan, ia boleh meningkatkan kecekapan di  SAE dan menyediakan lebih banyak nilai bagi pelanggan dengan mengurangkan masa henti pesawat sehingga 40 peratus.

SAE mengkhususkan dalam penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat komersial, enjin dan komponen.

“Ini merupakan sebahagian daripada antara usaha yang dilakukan oleh Airbus di Malaysia yang berpotensi untuk mentransformasikan sektor penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

“Kami melakukan 170-180 kerja pembaikan radom tahun lepas dan dengan peningkatan pemproses radom pintar yang kami laksanakan, kami mengunjurkan kira-kira 200 pembaikan radom tahun ini,” kata Lim kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bengkel radom pintar itu oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, di sini, semalam.

Radom pesawat ialah bahagian yang menutupi muncung pesawat bagi melindungi antena yang dipasang di dalamnya daripada aliran angin yang kuat, hujan, kilat atau dilanggar burung.

Sistem transmisi utama terletak dalam radom termasuklah radar pengesanan cuaca dan sistem pendaratan instrumen.

Sementara itu, Amirudin berkata kerajaan negeri mempunyai dasar yang jelas bagi industri aeroangkasa dengan pelaksanaan Majlis Aeroangkasa Selangor untuk mengembangkan industri itu di negeri ini.

  “Kami memiliki ekosistem lengkap industri aeroangkasa di Selangor. Itulah sebabnya mengapa kami memilih industri aeroangkasa sebagai satu daripada kluster bagi strategi pelaburan dalam pelan tindakan pelaburan kami sejak 2015,” katanya.  — Bernama

Advertisement