Anda di sini

Premium insurans Malaysia menyaksikan pertumbuhan kukuh tahun ini: Allianz

Advertisement

KUALA LUMPUR: Premium insurans di Malaysia, yang mencatatkan pertumbuhan kukuh 4.6 peratus tahun lepas, akan menyaksikan pertumbuhan lebih pantas pada tahun ini kepada lebih enam peratus, menurut unjuran Allianz Research.

Pertumbuhan pada 2018 lebih baik daripada pencapaian 4.2 peratus pada tahun sebelumnya, berbanding latar belakang pertumbuhan keseluruhan yang mengecewakan dalam pasaran insurans Asia, katanya.

“Di Malaysia, insurans hayat menyumbang lebih daripada 70 peratus daripada kumpulan premium (tanpa kesihatan)  menetapkan sasaran tahun lepas dengan kadar pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus.

“Ia berkembang lebih pantas daripada harta tanah-kerugian, yang sekurang-kurangnya kembali berkembang positif (0.7 peratus) selepas mencatatkan penurunan premium pada 2017,” katanya dalam kenyataan semalam.

Allianz Research berkata, premium di Asia, tidak termasuk Jepun, meningkat sebanyak 2.3 peratus, ketinggalan di belakang pertumbuhan global untuk kali kedua sejak bermulanya alaf baharu.

Pertumbuhan global, tidak termasuk premium insurans kesihatan, dianggarkan sebanyak 3.3 peratus pada tahun lepas.

Firma penyelidikan itu menyifatkan prestasi buruk dicatatkan Asia adalah disebabkan penguncupan pasaran insurans hayat di China dan Korea Selatan, yang menyumbang 40 peratus daripada jumlah keseluruhan premium serantau (tidak termasuk Jepun).

“Pasaran insurans Malaysia adalah antara yang paling berkembang di rantau ini dengan premium per kapita pada 402 euro (kira-kira RM1,900) pada 2018, mengatasi China dan Thailand, dan kadar penembusan pada 4.3 peratus;iaitu sebagai contoh 3.7 peratus di China,” katanya.

Allianz Research menjangkakan pasaran insurans seluruh dunia akan kembali pulih dengan pertumbuhan premium global diunjurkan mencecah kira-kira lima peratus pada dekad seterusnya.

Ia mengunjurkan pemulihan di Asia tidak termasuk Jepun tahun ini dengan pertumbuhan premium hampir 11 peratus.

Di rantau ini, tidak termasuk Jepun, dijangka mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 9.4 peratus untuk dekad akan datang, dengan pertumbuhan pasaran Malaysia berkembang 8.2 peratus setiap tahun (8.6 peratus untuk insurans hayat dan tujuh peratus dalam harta tanah-kerugian), katanya.

“Keseluruhannya, sebanyak 60 peratus premium tambahan akan dijana di Asia tidak termasuk Jepun,” katanya. — Bernama

Advertisement