Anda di sini

Penyanyi sebenar atau penyamar, siapa bakal terpedaya?

Advertisement
 Seelan Paul, Mark Adam, Shuk dan Sean LJE semasa sidang media musim kedua ICSYVMY di Kuala Lumpur baru-baru ini. — Gambar ihsan Media Prima
KEMBALI LAGI: Seelan Paul, Mark Adam, Shuk dan Sean LJE semasa sidang media musim kedua ICSYVMY di Kuala Lumpur baru-baru ini. — Gambar ihsan Media Prima

PROGRAM yang mengambil konsep dan format program asal dari Korea Selatan oleh CJ ENM iaitu ‘I Can See Your Voice Malaysia’ (ICSYVMY) akan kembali buat musim kedua di TV3 bermula 23 Jun ini pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Menurut Johan Ishak selaku Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dalam satu kenyataan baru-baru ini, mereka mendapat maklum balas yang memberangsangkan apabila program ICSYVMY musim pertama disiarkan.

“Lebih teruja apabila ianya menjadi bualan dan juga trending di platform digital menerusi Youtube, seiring dengan zaman digital. Sokongan penonton sebegini membuatkan TV3 meneruskan ICSYVMY untuk musim kedua,” katanya.

Tambah Johan lagi, program sebegini dilihat memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam bidang nyanyian tetapi tidak mempunyai pengalaman mengekspreskan impian mereka menyanyi dalam program sebegini.

“Walaupun tidak mempunyai bakat dalam nyanyian ianya bukan satu penghalang kepada mereka kerana yang penting adalah keyakinan dan kemampuan diri.

“Menarik dan uniknya program ini adalah kreativiti setiap peserta yang perlu bijak untuk memperdayakan para penonton dengan lakonan mereka ketika menyampaikan lagu-lagu terpilih untuk terus kekal di atas pentas ICSYVMY2,” katanya.

Buat julung kali ICSYVMY musim kedua akan dihoskan oleh dua pengacara yang sememangnya lucu dan pasti membuatkan penonton tidak kering gusi iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE.

Manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Selain tiga penyiasat tetap ini, mereka turut ditemani oleh dua lagi orang penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah sebenarnya penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi-penyanyi misteri ini.

Di setiap episod, seorang artis jemputan bertanggungjawab untuk menyingkirkan penyanyi misteri yang mereka mengesyaki sebagai penyamar bersuara sumbang melalui empat pusingan dengan bantuan barisan penyiasat.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana beliau akan mendedahkan suara sebenar. Seandainya penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, penyanyi itu akan dapat menyertai Showcase ICSYVMY dan membuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air. Namun, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY musim kedua ini dibawakan khas oleh Oppo selaku penaja bersama.

Program ini juga dimeriahkan lagi dengan artis-artis jemputan kesayangan ramai. Antaranya Hael Husaini, Khai Bahar, Nabila Razali, Datin Alyah, Syamel, Siti Sarah, Floor 88, Haqiem Rusli, Ella, Ajai, Sam Bunkface dan Mas Idayu.

Showcase ICSYVMY pula disertai oleh Misha Omar, Ara Johari, Andi Bernadee dan Luqman Faiz.

Selain itu, ICSYVMY turut menampilkan Hot FM sebagai Geng Radio dan OHBULAN! sebagai Geng Digital. Krew penerbitan ICSYVMY musim kedua pula diketuai oleh Mas Ayu Ali selaku Penerbit Eksekutif, dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit merangkap pengarah.

Jangan lupa untuk saksikan ICSYVMY musim kedua bermula 23 Jun ini pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam hingga 10.30 malam, hanya di TV3!

Selain di televisyen, ICSYVMY juga dapat ditonton menerusi strim LIVE secara HD di tonton dan YouTube TV3 Malaysia Official.

Hangatkan lagi perbualan anda dengan menggunakan #ICSYVMY di laman media sosial.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook & Instagram di @tv3malaysia.

Advertisement