Anda di sini

Penganggur ugut bunuh kakak sendiri dipenjara enam bulan

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut mahu membunuh kakaknya sendiri dengan menggunakan pisau.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Mohd Azmi Riji, 33, setelah menerima pengakuan bersalahnya serta setelah membuat pertimbangan sewajarnya.

Menurut fakta kes, Azmi tidak puas hati setelah ditegur oleh kakaknya, Rohani Riji, 38, kerana memindahkan penyahkod Astro dari ruang tamu ke dalam bilik.

Dia kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan mengambil pisau di dapur dan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh Rohani.

Kejadian berkenaan mengambil tempat di rumah kediaman mereka, Kampung Tabuan Tengah, 22 Mac lalu pada jam 2 petang.

Khuatir dengan keselamatannya, mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada 23 Mac lalu.

Azmi, seorang duda, memohon kepada mahkamah agar dikurangkan tempoh hukuman penjaranya kerana dia mempunyai beberapa orang tanggungan iaitu ibu bapanya sendiri serta dua anak.

Dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nelson Ensit manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement