Anda di sini

Pekerja kilang didakwa rompak, cederakan teman wanita

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merompak dan mencederakan teman wanitanya.

Mohammad Fauzan Shamsudin, 35, didakwa merampas sebuah telefon Galaxy Tab 3 milik mangsa yang berusia 40 tahun dan mencederakannya, pada 10 Oktober 2017 di kilang Ayam CCK Fresh Mart Lok Kawi, Kinarut.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan sebat atau sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry tidak menawarkan tertuduh diberikan ikat jamin.

"Tertuduh sekarang ini menjalani hukuman penjara atas kesalahan menggunakan dadah. Mohon tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah," katanya.

Beliau juga memaklumkan laporan perubatan dan dokumen yang berkaitan sudah disediakan.

Menjawab soalan mahkamah, Mohammad Fauzan memberitahu sekarang ini dirinya sedang menjalani pemenjaraan selama lapan bulan.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pengurusan kes pada 25 Jun dan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 27 September ke atas tertuduh yang diperintahkan terus direman.

  • oleh
  • Advertisement