Anda di sini

Hong Kong pertahan rang undang-udang ekstradisi

Advertisement
 Anggota polis menghayunkan cota ke arah penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan di luar Dewan Perwakilan bagi membantah usul rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong pada awal pagi semalam. — Gambar AFP
HURU-HARA: Anggota polis menghayunkan cota ke arah penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan di luar Dewan Perwakilan bagi membantah usul rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong pada awal pagi semalam. — Gambar AFP

HONG KONG: Ketua pro-Beijing di Hong Kong semalam berkata beliau tidak merancang untuk membatalkan satu rancangan kontroversi bagi membenarkan ekstradisi ke tanah besar China, sehari selepas sekumpulan besar orang awam keluar bagi membantah usul itu.

“Ini adalah satu bahagian perundangan yang sangat penting yang akan membantu mengukuhkan kehakiman dan turut memastikan bahawa Hong Kong akan menunaikan tanggungjawab antarabangsanya dari segi jenayah merentasi sempadan dan transnasional,” ketua eksekutif Carrie Lam memberitahu wartawan.

Kerajaan bandar raya itu sedang mengusahakan satu rang undang-undang melalui badan perundangan yang akan membenarkan ekstradisi ke mana-mana bidang kuasa yang ia masih belum mencapai sebarang perjanjian – termasuk tanah besar China.

Usul tersebut telah me-nimbulkan kemarahan dan mencetuskan bantahan yang menyatukan sebahagian besar masyarakat di bandar raya itu dengan penentang berasa bimbang bahawa undang-undang terbabit akan menjerumuskan penduduk ke dalam sistem mahkamah China yang dipolitikkan dan samar-samar.

Kelmarin telah menyaksi-kan orang ramai berarak dalam keadaan panas terik melalui jalan raya yang sesak di pulau utama hab kewangan itu dalam tunjuk perasaan yang bising serta penuh warna-warni menyeru kepada kerajaan agar membatal-kan rang undang-undang ekstradisi tersebut.

Penganjur berkata, seramai hampir sejuta orang telah hadir – bantahan terbesar setakat ini sejak penyerahan Hong Kong kepada China pada 1997 – memberikan krisis politik yang besar kepada Lam.

Namun dalam komen pertama beliau sejak perhimpunan besar-besaran tersebut, Lam berkata beliau tidak merancang untuk mengubah susunan kata-kata dalam undang-undang sekarang atau menarik balik ia dari badan perundangan bandar raya itu.

“Rang undang-undang akan meneruskan pembacaan keduanya pada 12 Jun,” katanya.

Lam menafikan beliau tidak mengendahkan bantahan orang ramai dan berkata pentadbirannya telah membuat konsesi besar dalam memastikan kebebasan unik di bandar raya itu akan dilindungi dan bahawa pelindung hak asasi manusia dalam rang undang-undang tersebut mematuhi piawai antarabangsa.

“Saya dan pasukan saya tidak mengabaikan mana-mana pendapat yang disuarakan  mengenai bahagian perundangan yang sangat penting ini. Kami telah mendengar dan terus mendengar dengan penuh perhatian,” kata beliau. — AFP

Advertisement