Anda di sini

Dua gadis antara empat diarah reman dalam kes dadah

Advertisement

MIRI: Dua remaja perempuan antara empat individu yang diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman antara sehari hingga tiga hari kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie setelah mendengar permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Liew Wai Leong.

Dalam permohonannya Liew berkata, bertindak atas maklumat diterima sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri telah membuat serbuan ke sebuah rumah kedai di Jalan Piasau Utara 2D di sini.

Dalam serbuan itu, polis telah menahan tiga wanita yang berada di bawah rumah tersebut untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Polis yang melakukan pemeriksaan fizikal ke atas ketiga-tiga wanita terbabit termasuk dua remaja perempuan tidak menemui apa-apa yang menyalahi undang-undang.

Manakala pemeriksaan di ruang tamu tingkat atas rumah kedai itu telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki dan hasil pemeriksaan fizikal terhadap lelaki terbabit juga tidak menemui apa-apa barang salah.

Pemeriksaan lanjut di ruang tamu itu berjaya menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi 20 paket plastik kecil lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 10.60 gram.

Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas dan keempat-empat suspek ditangkap mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya Liew berkata, reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas keempat-empat suspek yang berusia 33, 34, 17 dan 16 tahun masing-masing dari Tudan, Kampung Muhibbah Kuala Baram dan Taman Tunku di sini amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman tiga hari ke atas suspek pertama dan kedua, manakala dua remaja perempuan terbabit masing-masing direman sehari sehingga 11 Jun ini.

Advertisement