Anda di sini

Syarikat dari China melabur dalam Projek Petrokimia di Lawas 

Liaw (kanan) bertukar dokumen dengan Hao disaksikan Abang Johari serta yang lain. Gambar Chimon Upon
Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen antara Liaw (kanan) dan Hao. Gambar Chimon Upon

KUCHING: Syarikat dari China, Beijing BECA Sci-Tech Co. Ltd dan Sinopec Engineering Incorporation memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Sarawak bagi  Projek Pembangunan Petrokimia di Lawas. 

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pemilihan Sarawak khususnya Lawas sebagai lokasi bagi projek tersebut adalah atas beberapa sebab.  

Antaranya, keluasan tanah, bekalan air dan tenaga, kestabilan alam sekitar serta lokasi Lawas yang terletak dalam kedudukan strategik bagi kedua-dua pelabur. 

“Projek ini akan menjadi pemacu kepada pembangunan di bahagian utara Sarawak khususnya Lawas dan Limbang. 

“Di pihak Kerajaan Sarawak, kita akan membantu dalam menyediakan fasiliti termasuk pembangunan pelabuhan di Lawas untuk membolehkan syarikat mengeskport petrokimia mereka ke pasaran pengguna,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan upacara menandantangani MoU tersebut di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini. 

Mengulas lebih lanjut mengenai projek tersebut, ia melibatkan pelaburan bernilai 5 bilion dollar Amerika Syarikat (USD 5 billion). 

Projek ini dijangka akan mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan dan 20,000 peluang pekerjaan pada tempoh puncak pembinaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada sidang media yang sama berkata  projek itu dijangka akan memulakan pengeluaran petrokimia pada tahun 2022. 

Sebagai permulaan katanya syarikat akan menjalankan kajian kemungkinan dahulu dan diharap dapat disiapkan dalam masa kurang daripada setahun. 

Projek ini katanya akan  dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama dijangka bermula pada suku keempat tahun 2019. 

Dalam pada itu, MoU tersebut ditandatangani Presiden Beijing BECA Sci-Tech Co. Ltd, Hao Liang dengan Naib Presiden Sinopec Engineering Incorporation, Zhao Xiangdong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan  Usahawan Sarawak, Datu Liaw Soon Eng.