Anda di sini

Lebih banyak insentif bagi penanam sawit miliki MSPO

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penanam sawit melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) yang bertujuan meningkatkan profil tanaman itu di peringkat pasaran global.

“Ini merupakan berita baik, khususnya untuk kalangan pekebun kecil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng kepada Bernama, baru-baru ini.

Setakat akhir April lepas, hanya 32 peratus daripada sejumlah 5.85 juta hektar ladang sawit dan 39 peratus daripada 451 kilang minyak sawit di negara ini yang memiliki pensijilan MSPO, katanya.

Seperti mana diumumkan sebelum ini, aspek piawaian MSPO akan diwajibkan bagi seluruh industri terbabit menjelang akhir tahun ini.

Atas alasan itu, syarikat perladangan dan pekebun kecil diberi tarikh akhir pematuhan yang berbeza.

Pihak industri diberi tempoh sehingga 31 Disember tahun lepas untuk memiliki pensijilan MSPO jika sudah mempunyai pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) bagi memenuhi syarat insentif sedia ada manakala tempoh sehingga 30 Jun 2019 ditetapkan jika tiada RSPO atau Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC).

Bagi pekebun kecil pula, kerajaan telah memberi tempoh lanjutan paling lama untuk mendapatkan pensijilan MSPO iaitu sehingga 31 Dis, 2019.

DILEMA PEKEBUN KECIL

Menurut Chew, susulan pengumuman tarikh pematuhan wajib itu, MPOCC telah menjangkakan bahawa para pekebun kecil akan berdepan cabaran dari segi sumber serta kapasiti untuk mematuhi piawaian MSPO tetapi mereka akan dibantu oleh Kementerian Industri Utama serta agensi-agensinya.

“Kami dapati ada di antara mereka ini yang berhasrat mengecilkan saiz kawasan ladang masing-masing dan mengusahakan tanaman lain sebagai alternatif. Namun, pada masa sama, kami menasihati pekebun kecil ini supaya memiliki sijil MSPO itu sebagai jaminan produk mereka dapat dijual dalam tempoh jangka panjang.

“Apa yang kami bimbangkan adalah kelompok pekebun kecil (dengan keluasan ladang kurang daripada 100 ekar) dan penanam kecil dan sederhana yang memiliki 100 ekar atau 40.46 hektar sehingga hingga 1,000 hektar.

“Para pekebun ini terutama di kawasan pedalaman, memerlukan lebih banyak bimbingan kerana ada di antara mereka ini kurang sedar atau terlibat dalam proses pensijilan itu,” katanya.

Syarikat-syarikat besar sebaliknya dapat melaksanakan MSPO kerana sebahagian besar daripada mereka sudah memiliki sijil piawaian antarabangsa seperti RSPO atau ISCC.

INSENTIF BAHARU SKIM MSPO

 Insentif sedia ada yang bertujuan melonjakkan penyertaan bagi pemilikan sijil MSPO, adalah merangkumi sepenuhnya kos audit dan persiapan pensijilan itu untuk kalangan pekebun kecil.

“Skim insentif baharu itu akan turut menampung sepenuhnya kos audit pekebun kecil dan sederhana serta kos untuk menjadi lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Untuk pekebun kecil persendirian, kerajaan pada masa ini memberi mereka RM135 sehektar sebagai insentif MSPO tersebut.

“Bagaimanapun, untuk pekebun kecil di bawah pelbagai skim tanah rancangan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), mereka diberi RM10 sehektar. Oleh itu wujud perbezaan yang amat ketara.

“Sehubungan itu, kerajaan akan merasionalkan skim insentif itu bagi memastikan semua pihak menikmatinya dengan keutamaan kepada pekebun kecil dan penanam kecil dan sederhana,” katanya.

MEKANISME PENSIJILAN MSPO

Mengulas lanjut, Chew berkata sistem pensijilan MSPO itu diuruskan syarikat audit pihak ketiga (badan pensijilan atau CB) yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM).

Terdapat 14 CB yang mempunyai akreditasi setakat ini dan JSM kini dalam proses mengakreditasi empat lagi CB di negara ini.

Senarai CB tersebut itu boleh dirujuk di laman sesawang MPOCC di www.mpocc.org.my

“(Pengusaha) ladang sawit dan penggiat rantaian bekalan yang berhasrat mendapatkan pengesahan MSPO dan Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan (SCCS) boleh menghubungi mana-mana daripada 18 CB untuk mendapatkan maklumat sebut harga bagi tujuan perbandingan. Bagi pekebun kecil persendirian, audit itu akan diatur oleh pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Pihak MPOB akan mengunjungi ladang pekebun kecil bagi memastikan kawasan itu memenuhi semua syarat ditetapkan oleh piawaian MSPO sebelum disenaraikan bagi tujuan audit sebenar.

“MPOB telah menyenaraikan pekebun kecil persendirian itu dalam 162  kelompok atau Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan sejumlah 114 SPOC telah disahkan oleh pihak majlis, setakat ini,” katanya.

MAMPUKAH MALAYSIA CAPAI SASARAN MSPO SEPENUHNYA MENJELANG AKHIR 2019?

Mengulas perkara itu, Chew berkata MPOCC yakin dengan keupayaan pelaksanaan sepenuhnya pensijilan MSPO itu walaupun berdepan tempoh akhir yang singkat.

“Ini merupakan tugas sukar (kerana membabitkan pelbagai prosedur dan pembiayaan) namun dengan sokongan padu kerajaan, kami yakin dapat mencapai sasaran 100 peratus menjelang akhir 2019,” katanya.

Menurutnya, MSPO amat penting kerana berperanan sebagai platform bagi industri minyak sawit Malaysia mengorak langkah ke arah kemampanan selain menangani cabaran semasa serta di masa depan.

Berikutan itu, kerajaan Persekutuan dan pelbagai agensi turut terbabit menyediakan sokongan teknikal dan bantuan kewangan.

Pihak kerajaan Persekutuan bagaimanapun akan mendapatkan kerjasama kerajaan negeri dalam perkara tertentu, khususnya membabitkan aspek penggunaan dan hakmilik tanah yang tertakluk kepada bidang kuasa mereka, katanya.

KEMAMPANAN TERAS HALA TUJU

Chew menegaskan, usaha memenuhi syarat kemampanan yang ditetapkan oleh negara pengimport juga menjadi perkara teras memandangkan hampir 90 peratus daripada minyak sawit Malaysia dan produknya adalah bagi tujuan eksport.

“Ini turut menyuntik aspek penjenamaan yang baik terhadap komoditi kita,” katanya.

China yang juga antara pembeli utama minyak sawit Malaysia, juga didapati lebih banyak menumpukan aspek makanan hijau dan soal kemampanan.

“Baru-baru ini, MPOCC telah memeterai memorandum persefahaman dengan Pusat Pengembangan Makanan Hijau China bagi pengiktirafan bersama pensijilan ‘Makanan Hijau’ dan MSPO.

“Adalah diharapkan kerjasama itu akan menyaksikan lebih banyak produk minyak sawit Malaysia dapat diimport oleh China,” katanya.

Selain itu, Chew berkata, kerajaan dan agensi berkaitan akan turut mempromosikan minyak sawit  berstatus MSPO ke India pada akhir tahun ini.

Rancangan seterusnya adalah menyertai Ekspo Antarabangsa Dubai pada 2020 dalam usaha menembusi pasaran Timur Tengah.

“Pesaing utama iaitu Indonesia turut melaksanakan Sistem Pensijilan Minyak Sawit Mampan (ISPO).

“Bagaimanapun, Indonesia tidak banyak melabur dalam usaha mempromosikan minyak sawit dengan ISPO dan sebaliknya menumpukan usaha kepada jualan komoditi itu pada harga lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit mentah yang tinggi.

“Sehubungan itu, saya berpendapat, inilah yang menjadi kelebihan minyak sawit Malaysia di pasaran iaitu sebagai hasil yang diiktiraf dengan pensijilan MSPO,” katanya. — Bernama

Advertisement