Anda di sini

Cara Memupuk Sikap Seorang Juara

 
Oleh ROSHAN THIRAN

Sememangnya ada keistimewaan menyandang peluang sebagai atlet kebangsaan mewakili negara di arena antarabangsa. Setelah bertahun-tahun bekerja keras, memberi dedikasi tidak berbelah bahagi, penuh dengan titik peluh dan linangan air mata, seseorang atlet itu mungkin beroleh cuma satu peluang untuk mencapai kegemilangan. Biarpun benar juara-juara dicipta jauh lebih awal sebelum perjuangan bermula, malah atlet yang paling bersedia juga boleh tumbang pada saat-saat akhir.

Terlepas pandang sedetik cuma, kaki terkehel, atau kejadian yang tidak terjangka berlaku pada masa yang tidak sepatutnya, semua ini memberi kesan untuk seseorang diabadikan sebagai wira sukan, ataupun hilang dalam lipatan sejarah.

Seseorang atlet bukan sahaja perlu sentiasa menjaga kesihatan fizikal pada tahap yang terunggul, malah mereka perlu memperhalusi aspek mental serta mampu membuat telahan dan berhadapan dengan apa jua ujian yang timbul bermula dari upacara pembukaan sehinggalah ke garisan penamat. Tiada ruang untuk membuat silap. Apa pun jua yang perlu dilakukan mestilah dilaksanakan. Tiada sesiapa yang akan teringat akan naib juara.

Segalanya dipertaruhkan

Dalam perniagaan, mahupun kehidupan peribadi, banyak yang boleh kita pelajari daripada atlet tempatan, berhubung dengan cara mereka memupuk dan mengekalkan mentaliti sebagai juara. Boleh kata, sekiranya kita mahu berjaya dalam kehidupan hari ini, pencapaian cukup-cukup makan sudah tidak memadai. Hal ini bunyinya perit, namun inilah hakikatnya. Jadi apakah langkah yang boleh diambil untuk memupuk sikap sebagai wira sejati supaya boleh dijadikan contoh teladan?

Berikut merupakan beberapa petua bagi meneruskan langkah.

Ketepikan sikap ‘boleh kot’

Kita sering berbicara tentang sikap boleh buat kot, apabila diberi tugasan mahupun cabaran, kita menjawab, “Baik, boleh buat kot!” Dari segi psikologi, kata-kata yang keluar dari mulut sekalipun beberapa kerat sahaja boleh memberi kesan yang ketara dalam pembentukan perspektif diri.

Daripada sikap ‘boleh buat kot’, sebaiknya kita amalkan sikap ‘memang akan buat’. Ucapan sebegini lebih besar kesannya dan meyakinkan. Misalnya “Saya boleh kot belajar cakap bahasa Sepanyol”, kita tukarkannya menjadi “Saya memang akan belajar cakap bahasa Sepanyol.” Juara tidak akan terfikir sama ada mereka boleh buat atau tidak, sebaliknya mereka tahu mereka akan buat sampai dapat.

Siapa saingan anda?

Siapakah lawan terbesar anda? Atlet yang berdiri di sebelah? Jurujual yang meninggalkan anda lima tempat di bawah pada papan pencapaian anak syarikat? Geng yang jauh lebih otai dalam bidang yang sama?

Tak perlu pedulikan mereka. Mereka bukannya pesaing anda, namun anda sendiri. Juara sedar, mereka hanya mampu mengawal prestasi sendiri. Mereka tidak berusaha untuk menjadi yang terbaik, sebaliknya mereka mendesak diri supaya sentiasa menjadi versi diri yang terbaik. Erti sebuah kemenangan bukanlah bertumpu pada keupayaan anda untuk menang, jauh sekali mengharapkan orang lain jatuh. Sentiasalah berusaha untuk menjadi lebih baik daripada semalam.

Manfaatkan setiap pengalaman untuk memantapkan keyakinan

Anda pernah tewas? Anda pernah tetapkan matlamat namun kemudiannya gagal? Setiap pengalaman yang kita lalui memberi satu pengajaran, sekalipun pengajaran tersebut hanya mendidik kita supaya bertahan dan terus mara ke hadapan, walaupun berdikit-dikit. Setiap pahit getir yang dialami menjadikan kita lebih kental, bijak, dan berdaya tahan.

Masih ingat saat anda rasa anda takkan mampu teruskannya? Tapi tengok, anda masih ada di sini, masih kuat. Sentiasa fokus untuk terus kekal positif — jika kita teliti betul-betul, kita bakal sedar sangat banyak hikmah yang diperoleh sepanjang kita hidup, walaupun dalam detik-detik yang mencabar. Juara akan memanfaatkan segala situasi yang ada dan tiada apa pun jua yang boleh menyekat mereka.

Bulatkan tekad

Tak dapat dinafikan lagi, akan ada saat kita rasa letih, tak bersedia, atau jiwa tak tenang dalam usaha meyakinkan pelabur, mempromosikan jualan mahupun ketika menyampaikan seminar. Perkara sebegini selalu sahaja terjadi. Sekiranya anda berada dalam situasi tersebut, ambil masa lima saat dan rehat sekejap, tarik nafas panjang-panjang, dan kenang semula detik tatkala anda berjaya meyakinkan palabur atau meraih jualan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Bisik pada diri sendiri, “Aku boleh buat benda ini”, ini bukannya sekadar ikrar, namun sebagai peringatan bahawa anda pernah berjaya sebelum ini, maka anda mampu lakukannya! Juara sedar bukan semua pertempuran yang disertai hasilnya sempurna, namun mereka mampu mengenang semula kemenangan yang lepas untuk membantu mereka memperkukuh prestasi semasa.

Berkaitan: Sifat-Sifat Kepimpinan Yang Membina Ketangkasan Nicol David Selamat maju jaya!
Sumber
Sumber