Anda di sini

Beberapa orang cedera, tunjuk perasaan bantah rang undang-undang ekstradisi di Hong Kong bertukar ganas

Tunjuk perasaan secara aman bertukar ganas pada awal pagi Isnin. - Gambar Bernama 

MOSCOW: Polis menggunakan penyembur lada dan cota terhadap para penunjuk perasaan di wilayah pentadbiran khas China Hong Kong apabila bantahan berhubung pindaan baharu dalam rang undang-undang ekstradisi kerajaan bertukar ganas pada awal pagi Isnin, menyebabkan beberapa orang termasuk anggota penguat kuasa undang-undang, mengalami kecederaan, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik laporan media tempatan.

Pada Ahad, akhbar South China Morning Post yang memetik kenyataan penganjur, melaporkan bahawa lebih sejuta orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan bagi membantah pindaan itu, yang jika diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan.

 Polis bagaimanapun berkata hanya 240,000 orang mengambil bahagian dalam demonstrasi itu dan penguat kuasa undang-undang telah menahan tujuh orang serta menggunakan gas pemedih mata.

Stesen penyiar RTHK pula melaporkan bahawa tunjuk perasaan itu bertukar ganas selepas tengah malam waktu tempatan (1600 GMT) apabila sesetengah peserta menyahut gesaan untuk mengepung Dewan Perwakilan.

Para penunjuk perasaan juga mula membaling botol ke arah anggota keselamatan manakala polis memukul mereka dengan cota serta menggunakan penyembur lada.

Sekurang-kurangnya dua anggota polis cedera dan dimasukkan ke hospital dengan seorang daripada mereka cedera di bahagian mata.

Beberapa wartawan dan seorang pengendali saluran TV tempatan turut mengalami kecederaan.

South China Morning Post pula menyebut bahawa pada kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan, para penunjuk perasaan cuba mengambil besi penghalang dan menyerang polis.

Kemudian, mereka mula meletakkan halangan menggunakan tanda jalan dan tong sampah.

Wilayah Hong Kong, yang menikmati autonomi penting di China kecuali dari segi dasar luar dan pertahanan, mempunyai sistem perundangan berbeza.

Golongan yang menentang rang undang-undang itu mendakwa ia akan menyebabkan Hong Kong "mati" kerana mana-mana aktivis hak asasi manusia atau anggota badan bukan kerajaan yang aktivitinya tidak disukai Beijing berdepan risiko akan diekstradisi atau dianiaya.

Kira-kira 100,000 penunjuk perasaan berkumpul untuk perhimpunan serupa pada 28 April.

RTHK, yang memetik kenyataan Civil Human Rights Front, melaporkan bahawa kira-kira 130,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu manakala polis tempatan berkata jumlah penunjuk perasaan adalah kira-kira 22,800. - Bernama