Anda di sini

Aktres Korea Lee Jeong-eun bersinar dalam filem pemenang Cannes

Advertisement
 Lee Jeong-eun bersama pengarah Bong Joon-ho dan barisan pelakon lain filem ‘Parasite’ semasa festival filem Cannes pada 22 Mei lepas. — Gambar Reuters
LAKAR NAMA: Lee Jeong-eun bersama pengarah Bong Joon-ho dan barisan pelakon lain filem ‘Parasite’ semasa festival filem Cannes pada 22 Mei lepas. — Gambar Reuters

SEORANG aktres yang amat versatil dan paling terkenal kerana watak sokongannya, aktres dari Korea Selatan Lee Jeong-eun bakal mencapai kejayaan dalam kariernya dengan komedi gelap yang menang di Cannes, ‘Parasite’.

Filem itu, kisah tragedi lawak mengenai jurang yang semakin meluas di antara golongan kaya dengan golongan miskin, merupakan kolaborasi ketiga bagi aktres berusia 49 tahun itu dengan pengarah, Bong Joon-ho.

Dia menjadi suara seekor haiwan gergasi dalam filem cereka makhluk arahan Bong pada 2017, ‘Okja’, yang bertanding dengan jayanya untuk anugerah Palme d’Or pada tahun itu, selepas dia membawa watak kecil dalam filem aksi jenayah arahan Bong pada 2009, ‘Mother’.

“‘Parasite’ mungkin akan mengubah trajektori kariernya,” kata Pierce Conran, seorang penerbit dan pengkritik filem yang berpangkalan di Seoul, kepada AFP.

“Pengarah Bong memang pandai menilai penghibur dan telah sendirian melancarkan (Bae Doo-na dalam ‘Barking Dogs Never Bite’) atau menyegarkan semula (Kim Hye-ja dalam ‘Mother’) beberapa karier pada masa lalu.”

Dalam drama keluarga terbaharu arahan Bong, Lee membawa watak seorang pembantu rumah yang tinggal bersama sebuah keluarga di Seoul, dengan ahli-ahli keluarga yang menjadi obsesi bagi seorang pemuda miskin.

Walaupun dia kelihatan seperti seorang pembantu rumah yang taat, dia ternyata mempunyai beberapa rahsia, termasuk keupayaan yang luar biasa untuk meniru seorang pembaca berita dari Korea Utara yang mudah teruja.

Lee memulakan karier lakonannya di atas pentas pada 1991, dan membuat penampilan pertamanya dalam filem pada 2001 dengan watak kecil dalam drama percintaan arahan Kim Yong-gyun berjudul ‘Wanee and Junah’.

Tetapi dia mengalami sekatan mental ketika dia bekerja untuk filem itu dan tidak kembali ke dunia perfileman sehingga 2009, tahun dia membuat penampilan dalam filem Bong ‘Mother’.

“Saya sangka saya tidak akan dapat membuat sebarang kerja TV atau filem (lagi) kerana kegelisahan kamera saya,” kata aktres itu pada tahun lepas.

“Satu-satunya cara untuk mengatasinya hanyalah dengan memaksa diri saya menangani kamera itu berkali-kali. Ia berjaya pada akhirnya.”

Watak-wataknya yang kebelakangan adalah daripada seorang pengasuh kanak-kanak dalam siri TV yang amat berjaya sekali di Korea Selatan pada tahun lepas ‘Mr Sunshine’ hingga kepada seorang penilik nasib yang lawak dalam siri TV pada 2015 ‘Oh My Ghost’, dan seorang ibu yang semakin tua dan mengalami demensia dalam filem TV pada tahun lepas yang boleh membuat penonton menangis ‘Familiar Wife’. Dia muncul dalam kira-kira 35 siri TV, sekurang-kurangnya 10 pementasan dan muzikal, dan lebih 30 buah filem termasuk ‘The Wailing’ (2016) dan ‘A Taxi Driver’ (2017).

Aktres itu juga terkenal kerana menghafal skripnya dengan membuat rakaman dengan suaranya sendiri dan mendengarnya – dan bukan dengan membaca – dan aktif dalam kempen pelajar prodemokrasi pada tahun 1980an.

“Idea mengenai kesamarataan adalah penting bagi saya,” kata aktres itu pada tahun lepas.

“Saya memikirkannya walaupun apabila saya bekerja. Saya rasa kita memperolehi hasil terbaik apabila semua anggota kakitangan dan pelakon bekerja dalam persekitaran sama rata,” katanya selepas beberapa dakwaan salah laku seksual menggegarkan industri.

“Setiap kali saya memilih orang untuk bekerja dengan saya, saya selalu melihat jati diri mereka dan bagaimana mereka melayan orang lain.”

Bong pernah menyatakan dia amat tersentuh dengan persembahan Lee dalam sebuah muzikal bertajuk ‘Bballae’ – yang bermaksud dobi – di mana dia membawa watak seorang wanita tua yang membesarkan anak perempuannya, yang mempunyai kekurangan upaya yang teruk, bersendirian.

“Lee hebat sekali dalam muzikal ‘Bballae’. Seperti apa yang dia sudah tunjukkan dalam muzikal, Lee mempunyai kebolehan semula jadi untuk mengawal suaranya,” kata Bong pada tahun 2017, selepas pengeluaran ‘Okja’.

“Dia meluangkan begitu banyak masa untuk menonton dokumentari mengenai babi, supaya dia dapat meniru bunyi mereka sebaik mungkin – saya kagum hingga tidak terkata.”

Si pengkritik, Conran, berkata keadaan dijangka akan berubah ekoran sambutan hangat kepada ‘Parasite’.

“Siri watak kecil Lee dalam filem besar mungkin akan digantikan dengan watak yang lebih signifikan bermula sekarang,” katanya. — AFP

Advertisement