Anda di sini

400 penduduk ‘terperangkap’

Advertisement
 SK Long Bemang mulai dinaiki air semalam.
NAIK: SK Long Bemang mulai dinaiki air semalam.

MIRI: Seramai 400 penghuni Rumah Kajan Sigeh, Long Teru, Baram terputus hubungan selepas jalan utama mereka ditenggelami air sedalam lima kaki semalam.

Penguasa Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri Law Poh Kiong berkata, keadaan itu juga menyukarkan kenderaan mahupun penduduk keluar masuk ke rumah panjang 52 pintu itu selepas banjir melanda kawasan tersebut sepanjang minggu lalu.

"Sudah seminggu banjir melanda kawasan Rumah Kajan Sigeh, Long Teru akibat kenaikan paras air di Sungai Teru dan Sungai Tinjar," katanya di sini semalam.

Menurutnya, limpahan air hulu Sungai Teru dan Tinjar diikuti hujan lebat malam sebelumnya menyebabkan jalan utama menuju ke rumah panjang terbabit dinaiki air semalam lima kaki pagi semalam.

Manakala banjir di Kampung Long Bemang, Baram turut menunjukkan kenaikan paras air dan laporan semalam menyatakan paras banjir naik sehingga dua kaki di tempat dalam dan di bawah rumah panjang sudah mencapai satu kaki.

"Keadaan paras air sekarang masih naik," kata Ketua Kaum Kampung Long Bemang Usung Ding yang turut mengesahkan keadaan paras air di Long Bemang masih naik sehingga awal petang semalam.

Rumah Umping, Lubok Mulong di Tinjar, Baram sepanjang 30 pintu dengan 180 penghuni terus berwaspada dan berjaga-jaga setelah kawasan mereka dilanda banjir sedalam satu kaki sejak tiga hari lalu dengan paras air terus menunjukkan kenaikan.

Sementara itu, di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Bok, Marudi banjir masih melanda kawasan sekolah dengan trend air kekal menaik.

Paras air naik dipercayai disebabkan hujan di hulu Sungai Tinjar sudah mulai surut dengan limpahan air menenggelamkan kawasan sekolah itu sehingga paras 2.2 kaki.

Air mulai membanjir kawasan padang sekolah, dewan perhimpunan, halaman kuarters guru dan tandas murid.

Sementara di SK Long Bemang air banjir mulai melanda kawasan sekolah bermula tengah hari kelmarin disebabkan hujan di kawasan Apoh agak lebat sejak Sabtu lalu.

"Setakat pagi ini (semalam) tempat-tempat sudah dinaiki air ialah padang sekolah, dewan perhimpunan, bahagian bawah kuarters kediaman guru, bahagian dapur dan dewan makan," kata Law.

Beliau memberitahu pasukan pemantau dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi sentiasa memantau keadaan dari semasa ke semasa di kawasan Baram.

"Keadaan banjir di Miri dipantau setiap Pejabat Daerah di bawah Pejabat Residen Miri termasuk pasukan bomba dan penyelamat dan kali ini banyak melibatkan Balai Bomba Marudi kerana kawasan Baram di bawah jagaan mereka," katanya.  

Manakala di Kampung Benawa, Sungai Baram air masih menunjukkan kenaikan dan tiada tanda-tanda surut dengan beberapa kawasan rendah dinaiki air namun masih dalam keadaan terkawal.

  • oleh
  • Advertisement