Anda di sini

Pertanian ditransformasi

Advertisement
 Uggah (empat kiri) melepaskan upacara lumba kerbau di Batu Danau semalam disaksikan (dari kiri) Hasbi, Henry, Dr Abdul Rahman, Paulus dan Antonio.
BERMULA: Uggah (empat kiri) melepaskan upacara lumba kerbau di Batu Danau semalam disaksikan (dari kiri) Hasbi, Henry, Dr Abdul Rahman, Paulus dan Antonio.

LIMBANG: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah akan menyusun strategi bagi mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama makanan pada 2030.

“Kementerian kita akan merangka pelbagai program untuk mentransformasi sektor pertanian dengan meluaskan dan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian termasuk menyelenggara pokok durian,” ujarnya pada perasmian Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2019 di Batu Danau, semalam.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Presiden Persatuan Bisaya Sarawak Antonio Kahti Galis.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Bahagian Limbang turut mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dengan membangunkan kawasan untuk penanaman buah-buahan terutama durian Musang King dan durian kuning.

Jelasnya, durian kuning (emas) yang banyak diusahakan di utara Sarawak berpotensi untuk dibangunkan dan dipasarkan ke China.

Beliau berkata, durian kuning boleh menyaingi Musang King dari Semenanjung jika ditanam secara meluas.

Pada masa ini katanya, durian kuning mendapat permintaan dan pasaran tinggi dari Negara Brunei Darussalam.

“Golongan petani di Bahagian Limbang digalak untuk menanam benih durian kuning kerana ia boleh menyaingi Musang King di Semenanjung.

“Durian kuning mempunyai rasa yang sedap dan boleh dipasarkan ke China jika ditanam dan dikeluarkan secara meluas,” katanya.

Uggah berkata lagi, kementeriannya akan menyusun lebih banyak program untuk meningkatkan pengeluaran durian kuning selain tanaman berpotensi lain.

Di samping itu katanya, tumpuan juga akan diberikan untuk meningkatkan populasi ternakan kerbau yang setakat ini hanya mencecah 6,000 ekor.

“Bagi tujuan itu, sebanyak RM6 juta diperuntukkan untuk program pembangunan kerbau termasuk membina halaman dan pagar kerbau,” jelasnya.

Mengulas pesta yang memasuki edisi ke-16 itu, Uggah berkata, ia dapat menonjolkan budaya masyarakat Bisaya sekali gus menarik kedatangan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan  perpaduan kaum dan agama di Sarawak.

“Tanpa perpaduan rakyat, kita tidak akan dapat berhimpun bersama seperti pada pesta ini.

“Malah, Sarawak terus menjadi contoh negeri yang mpunyai perpaduan kukuh di Malaysia apabila pelbagai agama dan kaum dapat duduk bersama,” ujarnya lagi.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan geran kerajaan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebanyak RM200,000 dan geran daripada beliau sebanyak RM30,000.

  • oleh
  • Advertisement