Anda di sini

Patuhi pengurusan alam sekitar yang betul, elak pencemaran libatkan nyawa

Advertisement
 Sebahagian daripada para peserta dan wakil pihak industri menumpukan perhatian mengenai pembentangan bertajuk ‘Analisa Penguatkuasaan dan Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Sarawak’ oleh Zaharizam.
FOKUS: Sebahagian daripada para peserta dan wakil pihak industri menumpukan perhatian mengenai pembentangan bertajuk ‘Analisa Penguatkuasaan dan Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Sarawak’ oleh Zaharizam.

PENGURUSAN alam sekitar yang baik bukan sahaja mampu memelihara ia daripada terus dimusnahkan tetapi paling penting mengelakkan pencemaran berlaku yang dibimbangi melibatkan nyawa.

Antara iktibar yang harus dilihat baru-baru ini, pada 7 Mac 2019, negara dikejutkan dengan kes pembuangan haram kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang di Johor yang melibatkan pelajar sekolah dan penduduk sekitar terpaksa dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun.

Siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai insiden itu juga mendapati buangan tersebut merupakan Buangan Terjadual (BT) yang dibuang secara haram ke Sungai Kim Kim, yang merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974.

Menyedari insiden yang berlaku itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak baru-baru ini mengadakan Seminar Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buang Terjadual-BT) 2005 sempena Hari Bumi 2019 di Kuching.

Seminar berkenaan dikendalikan Pegawai Kawalan Kanan JAS Negeri, Zaharizam Johny yang mengetengahkan betapa pentingnya pematuhan peraturan khasnya melibatkan BT bersama pengamal industri seperti pihak syarikat dan kilang-kilang.

Menurut Zaharizam, meskipun tiada sebarang pendakwaan di mahkamah dari tahun 2017 hingga kini terhadap mana-mana pihak berkaitan pematuhan peraturan berkenaan di Sarawak, ia tidak bermakna mereka memandang ringan perkara berkenaan.

Sebaliknya, syarikat atau kilang industri berkaitan harus proaktif memainkan peranan dalam mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar agar mampu mengelak berlakunya insiden seperti di Johor itu.

Katanya isu pelupusan BT secara haram di Sarawak, kali terakhir direkodkan ialah pada tahun 2007.

“Kita menyeru kepada pihak industri di negeri ini untuk bekerjasama dengan mematuhi peraturan melibatkan BT ini.

“Ini kerana pihak kami tidak akan berkompromi walaupun ia kesalahan yang sedikit, kami tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun.

“Maka kami amat berharap pihak industri supaya memastikan pematuhan terus dikekalkan selain proaktif dalam perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan seminar bertajuk Analisa Penguatkuasaan dan Pematuhan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Sarawak.

Menurut Zaharizam, dari segi statistik aduan kepada JAS tiga tahun bermula dari 2017 hingga 2019, JAS menerima lima aduan sepanjang tahun 2017, sementara empat aduan pada tahun 2018 dan tiga aduan pada tahun ini iaitu setakat 24 April 2019.

“Bagi analisis tindakan penguatkuasaan utama JAS adalah notis amaran, kedua kompaun dan ketiga adalah tindakan mahkamah.

“Bagi notis amaran dalam tempoh tiga tahun (2017-2019) sebanyak 21 notis dikeluarkan masing-masing pada tahun 2017 dan 2018 sementara pada tahun ini setakat 24 April 2019, hanya lima notis telah dikeluarkan,” tegasnya.

JAS mendapati di Sarawak, antara ketidakpatuhan yang paling tinggi direkodkan bagi notis amaran oleh jabatan ialah berkaitan dengan penyimpanan inventori.

“Di mana ada syarikat ini tidak ada inventori dalam bentuk salinan cetak kerana ia amat penting jika berlaku masalah dalam sistem.

“Kita amat berharap semua syarikat akan membuat salinan dalam salinan cetak selepas mengemas kini sistem mereka,” katanya.

Selain itu Zaharizam mendedahkan antara ketidakpatuhan lain ialah berkaitan kewajipan mewujudkan kawasan penstoran mengikut garis panduan selain penstoran yang tidak boleh melebihi 180 hari.

Mengulas lanjut mengenai kompaun yang telah dikenakan katanya, sebanyak 33 kompaun dikenakan pada tahun 2017, 67 kompaun (2018) dan 14 kompaun (setakat 24 April 2019).

Untuk kompaun yang tertinggi dicatatkan atas kesalahan berkaitan pelabelan BT seperti logo, nama syarikat dan nombor telefon selain daripada inventori.

  • oleh
  • Advertisement