Anda di sini

Kaji pelbagai sudut sebelum batalkan model PDP Lebuhraya Pan Borneo 

Advertisement
Abang Johari (duduk, tiga kanan) bergambar bersama Fadillah (duduk, tiga kiri) dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir (duduk, dua kiri) serta yang lain.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan persekutuan mesti melihat bebarapa sudut sebelum membatalkan model rakan pelaksana projek (PDP) lebuh raya di Sarawak.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan persekutuan menentukan kaedah yang akan diguna pakai bagi menerus dan menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

Beliau bagaimanapun menegaskan kerajaan persekutuan mesti melihat daripada beberapa sudut kerana pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo sudah siap hampir 70 peratus.

"Sebenarnya, mereka (Kementerian Kerja Raya) ada menghubungi kerajaan negeri memaklumkan penstrukturan semula pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

"Biarlah mereka melihat bagaimana hendak meneruskannya sama ada melalui PDP ataupun cara yang lain. Jadi kita tengoklah bagaimana nanti," katanya ketika ditemui selepas mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyaan Baru Sabtu lepas, iaitu keputusan pembatalan model PDP bagi Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak akan dimaklumkan tidak lama lagi.

Menurut Baru, setakat ini, hanya model PDP bagi lebuh raya itu di Sabah telah dibatalkan dan diganti dengan model kontraktor siap guna.

Sementara itu Fadillah yang merupakan mantan Menteri Kerja Raya berpendapat kerajaan persekutuan harus melihat keseluruhan konteks jika mahu mewujudkan PDP baharu.

Pertama menurutnya, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya perlu memahami dari segi reka bentuk dan kajian keseluruhan dibuat PDP terdahulu.

Kedua katanya, jika PDP sedia ada hendak diganti, pengantinya mestilah lebih baik dan tidak merugikan kerajaan serta tidak memberi kesan kepada pelaksanaan projek.

"Apabila kita berkata mengenai pelaksanaan projek, ada beberapa perkara perlu dilihat iaitu pemantauan, kualiti projek, sudut keselamatan dan kesihatan dalam perjalanan projek dari serti persekitaran dan sebagainya.

"Kalau mana-mana pihak baharu ingin dilantik, mereka mestilah boleh mematuhi atau lebih baik daripada PDP sedia ada, kalau dari segi kos, adakah ia dapat mengekalkan kos sedia ada atau lebih rendah," ujarnya.

Fadillah menambah, jika PDP sedia ada dibatalkan, ia akan memberi kesan kepada kerajaan dari segi bayaran pampasan dan mengambil masa bagi melantik PDP baharu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika PDP sedia ada dibatalkan kerana tiada perincian mengenai status terkini projek Lebuhraya Pan Borneo.

"Tetapi pada masa ini saya melihat PDP yang ada sekarang telah melaksanakan tugas dengan baik, sudah mencapai lebih 50 peratus pelaksanaan, dua pakej sudah siap.

"Lazimnya kita tidak 'menghukum' kontraktor atau pihak yang melaksanakan tugas dengan baik, dengan menamatkan kontrak mereka," ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada kerajaan sedia ada dan Baru Bian sebagai menteri bertanggungjawab untuk membuat keputusan.

"Seluruh aspek perlu dilihat, kerana keutamaan adalah memastikan projek ini siap pada waktu ditetapkan mengikut kualiti dan pada kadar kos telah ditetapkan termasuk pampasan kepada PDP sedia ada iaitu LBU (Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd).

"Perkara ini yang perlu diambil kira oleh Baru Bian dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng," katanya.

Di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini, LBU dilantik sebagai PDP untuk mengurus projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang bernilai kira-kira RM16 bilion.

  • oleh
  • Advertisement