Anda di sini

30 anak Sarawak terima Sijil Perhutanan FORTRAIN

Advertisement
 Para penerima sijil bergambar bersama Tengku Zulpuri Shah (sepuluh kiri) serta pegawai-pegawai kanan JPSM, JHS  dan pensyarah di FORTRAIN.
KURSUS: Para penerima sijil bergambar bersama Tengku Zulpuri Shah (sepuluh kiri) serta pegawai-pegawai kanan JPSM, JHS dan pensyarah di FORTRAIN.
 Penerima sijil dari Sarawak bergambar bersama Hamden (duduk tengah), Abang Ahmad (dua kiri) dan Pegawai Tadbir JHS Rusmaliza Mat Derus (dua kanan).
GEMBIRA: Penerima sijil dari Sarawak bergambar bersama Hamden (duduk tengah), Abang Ahmad (dua kiri) dan Pegawai Tadbir JHS Rusmaliza Mat Derus (dua kanan).

SERAMAI 30 anak tempatan daripada 78 peserta telah menerima Sijil Perhutanan Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Hamden Mohammad berkata, ia selaras dengan Dasar Perhutanan yang komprehensif sebagai panduan untuk mengekalkan kehijauan di negeri ini.

“Selain itu, ia memastikan kelangsungan flora dan fauna serta memastikan hutan serta sumbernya terpelihara untuk manfaat masa kini dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan FORTRAIN ke-32 di ibu negara.

Pada masa sama katanya, Sarawak mempunyai hutan yang terluas di Malaysia dan terdapat keperluan kakitangan yang mendesak untuk menjaganya.

Justeru, beliau berharap agar bilangan pelatih dari Sarawak dapat dipertingkatkan daripada jumlah sedia ada sekarang.

Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Georgina Kunyan, seorang pelatih yang berasal dari Kampung Puak Krokong, Bau telah menerima Anugerah Perisai Pusingan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia yang dianugerahkan kepada Pelatih Terbaik di Lapangan.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Boharnudin Arshad.

Pada tahun 2018 JHS telah menghantar anak tempatan Sarawak yang ditaja oleh JHS dan kerajaan negeri untuk berkursus di FORTRAIN.

Kerjasama latihan itu telah direalisasikan melalui Memoradum Persafahaman (MoU) antara JHS dengan JPSM dalam bidang latihan yang telah ditandatangani pada tahun 2017.

Advertisement