Anda di sini

Tindakan segera diambil

Advertisement
 Gambar dari Facebook yang menunjukkan penumpang duduk di atas bot laju dalam perjalanan dari Daro ke Sarikei.
BERBAHAYA: Gambar dari Facebook yang menunjukkan penumpang duduk di atas bot laju dalam perjalanan dari Daro ke Sarikei.

SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah mengambil tindakan segera dengan mengenakan kompaun terhadap pengusaha bot laju yang dikesan membawa penumpang melebihi jumlah yang ditetapkan.

Penolong Kontroler LSS Sibu Hatta Morshidi berkata, satu laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gambar yang tular dalam Facebook semalam yang menunjukkan penumpang duduk di atas bumbung bot laju yang dalam perjalanan dari Daro ke Sarikei.

Menurut Hatta, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada kakitangan LSS di Daro yang turut mengesahkan gambar dalam Facebook itu adalah benar.

Difahamkan, bot laju terbabit hanya dibenarkan membawa 12 penumpang.

“Kejadian ini berlaku pagi tadi (semalam). Bukan kita (LSS) tidak berbuat apa-apa. Kita telah cuba menghalang penumpang daripada menaiki bot laju dan telah bercakap dengan juragan bot, namun tidak diendahkan.

“Mereka tidak mendengar nasihat anggota kita. Di Daro, kita tidak mempunyai bangunan terminal di mana kita boleh melaksanakan dasar ‘No Ticket No Entry.’

“Satu-satunya tindakan kita adalah dengan mengeluarkan kompaun dan membuat laporan polis,” tegas Hatta.

LSS kini dalam fasa kedua menjalankan operasi bersepadu yang bermula 3 hingga 9 Jun ini. Fasa pertama berlangsung dari 24 hingga 31 Mei.

  • oleh
  • Advertisement