Anda di sini

Malaysia masih bebas wabak penyakit African Swine Fever

Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia masih bebas daripada penyakit African Swine Fever (ASF), berikutan langkah pencegahan yang diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar, yang menghalang pengimportan babi serta produk-produk daripada babi dari beberapa negara luar.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata arahan larangan pengimportan babi serta produk-produk babi dari China dikeluarkan pada 12 Nov lepas, manakala Poland serta Belgium (17 Jan), Thailand serta Vietnam (23 Januari) dan Kemboja (4 April).

Beliau berkata survelan klinikal telah dijalankan di ladang-ladang babi komersial di lapan negeri dan setakat ini kesemua ladang babi komersial yang diperiksa tidak menunjukkan tanda-tanda wabak ASF.

“Persampelan babi hutan dijalankan bersama Jabatan Perhilitan bagi mengesan virus ASF, melibatkan sampel dari 35 babi hutan di enam negeri di semenanjung dan setakat ini tiada virus ASF di kesan dari kesemua sampel yang diuji,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya pemantauan dan pemeriksaan ke atas kemasukan produk daging babi dari negara-negara berisiko ASF dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) di pintu masuk utama negara bermula 12 Nov tahun lepas.

“Sehingga kini 180 sampel daging dan produk daging babi dari negara berisiko ASF disampel dari Pelabuhan Klang Barat, Pelabuhan Pasir Gudang dan Bukit Kayu Hitam dan diuji di Institut Penyelidikan Haiwan serta makmal-makmal veterinar kawasan.

“Sehingga kini tiada virus ASF dikesan dari semua sampel yang telah diuji,” katanya.

Beliau berkata MAQIS juga menjalankan pemeriksaan dan rampasan produk babi yang dibawa masuk oleh penumpang kapal terbang dari negara berisiko ASF di pintu masuk KLIA serta KLIA2, dan menurutnya kempen-kempen kesedaran awam mengenai penyakit ASF telah dijalankan, yang melibatkan pengusaha di dalam industri babi untuk meningkatkan biosekuriti ladang.

“Satu simulasi table-top wabak ASF dijalankan pada 22 Feb lepas yang melibatkan Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, MAQIS, Malaysia Airports Holdings Bhd, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Perhilitan untuk menguji tahap kesiapsagaan setiap agensi yang terlibat apabila wabak ASF dikesan, disamping menguji pelan kontingensi wabak ASF yang dibangunkan,” katanya.

ASF adalah penyakit haiwan yang boleh menyebabkan kematian hampir 100 peratus babi ternakan dan babi liar, dan sehingga 30 Mei tahun ini, lima wabak ASF dilaporkan di Asia iaitu China, Mongolia, Vietnam, Kemboja dan Korea Utara. — Bernama

Advertisement