Anda di sini

ASADIA hidupkan semula seni ‘Belikan’

Advertisement
 Snowdan (tengah) merakamkan gambar bersama penerima sijil tamat kelas kebudayaan ASADIA.
DIIKTIRAF: Snowdan (tengah) merakamkan gambar bersama penerima sijil tamat kelas kebudayaan ASADIA.
 Peserta kelas tarian ngajat Iban ASADIA merakamkan gambar kenangan bersama-sama.
PEWARIS: Peserta kelas tarian ngajat Iban ASADIA merakamkan gambar kenangan bersama-sama.
 Persembahan betaboh atau muzik Iban oleh peserta-peserta ASADIA.
PELIHARA BUDAYA: Persembahan betaboh atau muzik Iban oleh peserta-peserta ASADIA.

AKADEMI Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA) menghidupkan semula  seni warisan budaya tradisi ‘Belikan’.  

Belikan merupakan salah satu daripada seni warisan budaya tradisi yang menjadi identiti kepada masyarakat Dayak Iban.

Ketua ASADIA, Mabong Unggang berkata, kali terakhir seni Belikan dipertunjukkan ialah kira-kira 61 tahun lalu menerusi dokumentari Tom Harrison  pada tahun 1958.

Menurut Mabong, beliau mengambil masa dua tahun untuk mentelaah semula seni ini daripada individu berpengalaman seperti Datuk Patinggi Tan Sri  Alfred Jabu Numpang dan Dato Seri Edmund Langu serta Edmond Rintai dari Betong yang masih menyimpan Belikan.

“Saya berharap kita semua akan sama-sama memartabatkan seni Belikan ini yang merupakan salah satu identiti bangsa kita Iban,” katanya pada Majlis Tamat Kelas Kebudayaan serta Pelancaran Seni Belikan ASADIA, baru-baru ini.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin hadir merasmikan majlis dua dalam satu ini.

Dalam ucapannya, Snowdan memuji usaha ASADIA untuk menghidupkan semula seni Belikan ini.

Beliau turut berharap para penggiat industri muzik akan menyokong muzik Belikan ini seperti Jerry Kamit yang telah mengangkat muzik sape ke peringkat antarabangsa.

Sebagai tanda sokongan kepada usaha ASADIA, Snowdan turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membantu persatuan menjayakan program-program mereka.

Pada majlis itu, turut disampaikan sijil tamat kelas kepada peserta ASADIA yang mengikuti pelbagai kelas kebudayaan seperti tarian ngajat Iban, tarian Orang Ulu dan Bidayuh, kelas sape dan banyak lagi.

  • oleh
  • Advertisement