Anda di sini

Wanita dipenjara lima tahun salah guna dadah

Advertisement
 

KOTA KINABALU: "Saya mohon dikenakan hukuman ringan, kerana menghidap penyakit cyst pada pangkal rahim," kata seorang wanita yang dikenakan penjara lima tahun atas kesalahan menggunakan dadah.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Ain Antong, 48, yang tidak diwakili peguam selepas mengaku salah.

Tertuduh yang mempunyai enam sabitan lampau atas kesalahan sama, didapati positif menggunakan dadah pada 6 April di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), balai polis Kota Kinabalu, di sini.

Nur Ain didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dihukum mengikut Seksyen 39 C (1)(a) akta sama.

Hukuman yang diperuntukan penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun, serta boleh dikenakan tidak melebihi tiga sebatan.

Walau bagaimanapun tiada sebatan dikenakan terhadap pesalah wanita.

Berdasarkan fakta kes, polis membuat ujian air kencing terhadap tertuduh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil saringan awal yang dilakukan, mendapati tertuduh menggunakan dadah Methaphetamine dan Amphetamine.

Sampel air kencing juga dihantar ke Jabatan Patologi, Hospital Queen Elizabeth di sini dan keputusan analisa menandakan positif dadah.

Semasa rayuan, selain menyatakan masalah kesihatannya, Nur Ain juga memberitahu perlu menjaga ibunya yang sudah lanjut umur sekarang ini berada di kampung.

Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja meminta hukuman setimpal dikenakan dan memohon pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas tertuduh ketika di penjara.

Terdahulu sebelum menjatuhkan hukuman, Elsie mengingatkan tertuduh mempunyai enam rekod kesalahan lampau pada lapan tahun lalu.

"Lapan tahun dahulu kesalahan terakhir anda. Tetapi itu bukanlah yang terakhir," katanya dan mengarahkan pengawasan polis selama tiga tahun dikenakan terhadap tertuduh setelah selesai menjalani pemenjaraan.

  • oleh
  • Advertisement