Anda di sini

Karakter Mak Cun alih jiwa Erma Fatima ke bidang usahawan

Advertisement
 Erma memberi penerangan kepada isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengenai busana yang dipamerkan di Rumah Budaya (Culture House). — Gambar Bernama
USAHAWAN: Erma memberi penerangan kepada isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mengenai busana yang dipamerkan di Rumah Budaya (Culture House). — Gambar Bernama

SEBELUM ini umum mengenali figura bernama Erma Fatima sebagai dramatis terkenal tanah air melalui drama-drama dan filem lakonannya, hingga melayakkan beliau bergelar artis paling popular pada tahun 90-an.

Melangkah ke alaf 2000 Erma mula berkecimpung dalam bidang pengarahan drama-drama Melayu yang mengisi slot di kaca televisyen, dan antara yang paling meninggalkan kesan adalah drama ‘Mak Cun’, kisah seorang wanita kampung yang gigih berusaha mencapai cita-cita sebagai seorang usahawan yang berjaya.

Bertitik-tolak dari karakter Mak Cun yang dihasilkan itu, Erma kini mengorak langkah ke bidang keusahawanan dengan membuka cabang perniagaan, memasarkan produk-produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhan (PKS) seperti makanan dan barangan kraftangan, dan yang terbaharu Rumah Budaya ‘Culture House’ di Menara Kuala Lumpur.

“Kini saya dah jauh sikit dari dunia seni...sebelum ini pun saya dah pernah umum saya dah tak mahu bertanding dalam Anugerah Skrin atau terlibat dalam bidang pengarahan... sekarang jiwa saya lebih kepada nak bantu usahawan-usahawan kita.

“Semangat ini lahir dari drama Mak Cun...dari situ saya kenal peritnya nak jadi usahawan, nak cari duit...kini saya lebih seronok masuk ke kampung-kampung, beli produk mereka dan tolong jualkan, ia satu nikmat yang luar biasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Rumah Budaya oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah baru-baru ini.

Pembukaan Rumah Budaya di Menara Kuala Lumpur itu merupakan satu lagi platform untuk beliau memasarkan produk-produk PKS, selain kedai yang telah dibuka di Menara Alor Star, Kedah.

Katanya, Rumah Budaya itu juga menyediakan pakej menyediakan perkhidmatan menyewa lebih 100 helai kostum tradisional, melakukan aktiviti kebudayaan dan bermacam lagi khusus untuk para pelancong luar yang datang ke Menara itu.

“Ia akan menjadi satu pusat sehenti di mana para pelancong boleh mendapatkan khidmat sewaan pakaian tradisional, di sam-ping mendapatkan barangan keluaran usahawan kita yang ditempatkan di rumah itu.

“Saya pasti ia akan menjadi tumpuan, kerana difahamkan kita menerima kedatangan kira-kira 3,000 orang pelancong ke Menara ini setiap hari…Insyaallah, kita akan buka beberapa lagi kedai seumpama ini di kawasan tumpuan pelancong lain, seperti di Matic (Pusat Pelancongan Malaysia), Central Market dan Taman Warisan di Putrajaya,” katanya.

Sebelum ini Erma turut melancarkan Mak Cun Mart di Ukay Perdana, yang mempunyai lebih 20 produk termasuk makanan, kecantikan dan fesyen hasil kolaborasinya bersama usahawan IKS.

Mak Cun Mart turut dibu-ka secara online menerusi www.makcunmart.com.my untuk pembelian atas talian.

Sempena bulan Ramadan ini dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, Mak Cun Mart turut memasarkan pelbagai jenis busana tradisional seperti baju kurung, baju kurung kedah, kebaya, kebarung dan jubah pada harga yang berpatutan.

Dalam pada itu katanya Rumah Budaya itu diwujudkan atas dasar tanggungjawabnya sebagai anak seni, untuk terus memelihara seni budaya Melayu dan adat resam, daripada terus ditelan zaman kerana melihat kepada generasi muda kini yang kurang mendapat pendedahan mengenainya.

“Kalau kita ke Korea atau Jepun kita nak cuba pakaian tradisional mereka... kita rasa seronok... saya lihat trend anak-anak muda sekarang, nak masuk kelas ballet, kelas Taekwondo, tapi budaya kita di mana?

“Jadi kalau bukan kita yang jaga budaya kita sendiri, ia akan jauh dari kita, saya khuatir. Saya rasa sebagai orang yang berada dalam industri seni ini, tanggungjawab saya untuk memartabatkan budaya saya di mata orang-orang luar khususnya,” katanya. — Bernama

Advertisement