Anda di sini

Ekonomi masih baik

Advertisement
 Abang Johari bersama Juma’ani menyambut kedatangan tetamu daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi di BCCK, Rabu lepas. — Gambar Chimon Upon
MESRA: Abang Johari bersama Juma’ani menyambut kedatangan tetamu daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi di BCCK, Rabu lepas. — Gambar Chimon Upon

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri yang disambut sederhana tetapi meriah di Sarawak menunjukkan situasi ekonomi negeri ini khasnya pada tahap yang baik.

"Masyarakat Dayak dan Melayu membeli-belah dan jalan raya juga sesak dengan kenderaan, begitu juga di pangkalan feri kerana ramai masyarakat dari luar bandar ke bandar dan sebaliknya.

"Ini menunjukkan keadaan ekonomi Sarawak tidaklah teruk, masih sederhana baik," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau dan isteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK)di sini, pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya keadaan ekonomi Sarawak yang baik ketika ini disumbang suntikan modal dan perbelanjaan awam hasil pembangunan infrastruktur yang tinggi dan masih giat dilaksanakan di negeri ini.

Sementara itu, rumah terbuka Ketua Menteri pada Hari Raya pertama berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dam agama seawal jam 9 pagi.

Abang Johari  berkata majlis rumah terbuka beliau pada  hari itu menyaksikan ramai orang datang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi.

Keadaan itu katanya, menunjukkan rakyat Sarawak menyambut Gawai dan Aidilfitri bersama-sama, yang secara langsung mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

"Di sebalik kepelbagaian latar belakang, rakyat negeri ini masih dapat hidup bersatu sebagai satu entiti, rakyat Sarawak.

" Hari ini (Rabu) saya sangat gembira kerana ramai orang datang memeriahkan lagi majlis rumah terbuka Hari Raya kami iaitu Cina, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu dan India datang bersama-sama.

"Saya sempat bersalaman dengan setiap daripada mereka yang datang," katanya.

Majlis rumah terbuka berkenaan bermula jam 10 pagi hingga 4 petang dihadiri ribuan tetamu daripada pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi.

  • oleh
  • Advertisement