Anda di sini

Akibat berguru dengan ‘Syeikh Google’, ‘Syeikh WhatsApp’, ramai umat Islam keliru

Advertisement
 Bungsu mendedahkan isu yang timbul akibat berguru dengan Syeikh Google dan Syeikh WhatsApp yang tidak diketahui sumbernya.
KELIRU: Bungsu mendedahkan isu yang timbul akibat berguru dengan Syeikh Google dan Syeikh WhatsApp yang tidak diketahui sumbernya.

KOTA KINABALU: Dek berguru dengan ‘Syeikh Google’ dan ‘Syeikh WhatsApp’ yang tidak diketahui dari mana sumbernya, ramai umat Islam hari ini yang menjadi keliru dalam kehidupan.

Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar berkata antara isu yang terkait adalah berkenaan ucapan selamat sesama muslim menjelang sambutan Aidilfitri ini iaitu ‘taqabballahu minna wa minkum’.

Katanya, sehingga ada pihak yang keliru dengan menyatakan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin’ itu jatuh haram kerana mengucapkan selain ucapan Rasulullah SWT.

“Sewajarnya, kita bersyukur kerana Ramadan telah sampai ke penghujungnya, justeru kita digalakkan menyambut 1 Syawal dengan penuh keimanan, ketaqwaan dan kesyukuran yang diisi dengan takbir tahmid dan zikir-zikir yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.

“Ucapan yang dianjurkan Rasulullah SAW iaitu, ‘taqabballahu minna wamin ka’ atau ‘taqabballahu minna wa minkum’ yang bermaksud semoga Allah SWT menerima amalan kita dan amalan kamu semua.

“Sebenarnya, tiada halangan sama sekali mengucapkan ‘selamat hari raya’ kerana ia tidak bertentangan dengan syarak. Ia adalah adat yang diterima oleh syarak dan adat itu diambil sebagai dasar keharusan hukumnya.

“Jadi, teruskanlah dengan amalan kita mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin’, ‘selamat hari raya 0 - 0’ agar inti pati Aidilfitri dapat kita rai iaitu saling bermaafan, saling berukhuwah satu sama lain dan tidak melupakan Allah SWT,” jelasnya.

Tidak cukup dengan itu, akibat merujuk hukum yang tidak sahih sumbernya di Internet, Bungsu mendedahkan, sesetengah masyarakat Islam keliru dengan pelaksanaan puasa enam sama ada hukumnya haram atau ‘bid’ah dholalah’.

“Ini kerana ada pandangan mengatakan tidak boleh, malah haram berpuasa enam kerana statusnya sunat, selagi kita ada hutang puasa Ramadan. Ada juga pandangan mengelirukan dengan mengatakan tidak boleh campur niat puasa enam dengan puasa qadha.

“Menurut pandangan fuqaha khususnya ahli sunnah wal jamaah, puasa enam boleh diteruskan selepas Hari Raya Aidilfitri pertama, maksudnya pada hari raya kedua.

“Kadang-kadang menjadi masalah, kita terpaksa mengeluarkan irshad panduan hukum kepada masyarakat kerana ramai yang berguru dengan Syeikh Google, Syeikh Whatsapp yang kita tak tahu dari mana sumbernya,” katanya.

Beliau berkata ia adalah masalah fiqah sebenarnya, para ulama terutama mazhab Syafie telah menjelaskan perkara itu dan diharap tidak ada lagi orang yang keliru dan akhirnya menyebabkan ia menjadi keberatan terhadap amalan berkenaan.

Bungsu ditemui pada Majlis Ru’yahtul Hilal Syawwal 1440H di Balai Cerap Al Beruni Tanjung Dumpil di Putatan pada Isnin.

Advertisement