Anda di sini

Tiada kejutan, Prayuth kekal sebagai Perdana Menteri Thailand

Advertisement
 

BANGKOK: Pemimpin junta, Jeneral Prayuth Chan-o-cha (gambar) kekal sebagai Perdana Menteri Thailand, lima tahun selepas rampasan kuasa tentera pada 2014.

Kemenangan itu tidak mengejutkan bagi rakyat Thailand kerana bekas jeneral itu mendapat kelebihan  daripada 250 senator yang dilantik oleh junta.

Prayuth, satu-satunya calon perdana menteri pro-junta Parti Palang Pracharat (PPRP) mendapat 500 undi, menewaskan pesaingnya daripada Barisan Demokratik, Thanathorn Juangroongruangkit yang memperoleh 244 undi.

Keputusan dalam undian untuk jawatan perdana menteri pada lewat Rabu itu menamatkan spekulasi mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri Thailand selepas pilihan raya umum pada 24 Mac lepas.

Seramai 500 anggota Dewan Perwakilan dan 250 senator mula mengundi sekitar 9.55 malam (waktu tempatan) yang mana mereka menyebut nama perdana menteri pilihan mereka. Undian itu menyaksikan kesemua 250 senator yang dilantik, kebanyakannya anggota tentera dan polis mengundi untuk Prayuth.

Proses pengundian itu selesai pada 11.33 malam (waktu tempatan).

Ia merupakan hari yang panjang buat semua anggota Parlimen dan senator serta media. Sesi Parlimen bersama itu bermula pada 11 pagi (waktu tempatan) pada Rabu yang menyaksikan perdebatan panjang lebar antara PPRP dan Barisan Demokratik, diketuai oleh Pheu Thai dan enam sekutunya, mengenai pelbagai isu termasuk kelayakan calon perdana menteri.

Tiga anggota Parlimen bersifat berkecuali. Mereka adalah Speaker Dewan Perwakilan Chuan Leekpai, Speaker Dewan Negara Pornpetch Wichitcholchai dan seorang anggota Parlimen daripada Bhumjaithai.

Tiga lagi anggota Parlimen yang tidak mengundi termasuk Thanathorn yang digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan atas tuduhan bahawa beliau memegang saham sebuah syarikat media semasa pilihan raya umum dan seorang bekas perdana menteri.

Dua lagi anggota Parlimen adalah bekas pemimpin parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva yang melepaskan kerusinya berikutan parti itu berjanji untuk menyokong Prayuth dan sedang dalam cuti sakit.

Sementara itu, Thanathorn mengucapkan terima kasih kepada 244 anggota Parlimen daripada tujuh parti yang mengundi beliau dan berjanji akan bekerja keras untuk demokrasi kerajaan itu.

“Kami menentang kediktatoran. Kami percaya kemenangan akan menjadi milik rakyat… Kami akan terus berjuang untuk demokrasi.

“Kami juga akan terus berkhidmat kepada rakyat… Kami akan berusah lebih gigih untuk generasi akan datang,” katanya kepada media selepas proses pengundian.

Pakar politik berkata pakatan Prayuth akan menjadi kerajaan yang lemah, tidak stabil dan tidak bertahan lama - tidak lebih daripada setahun.

Pakatan yang diketuai oleh PPRP dan 18 lagi parti politik termasuk dua parti sederhana - Demokrat (53 kerusi) dan Bhumjaithai (51 kerusi) serta puluhan parti kecil yang dianugerahkan satu kerusi akan berusaha keras untuk mentadbir dan bertahan tidak lebih daripada setahun kerana sukar untuk menampung pelbagai parti.

Gabungan itu juga akan menghadapi kesulitan dalam meluluskan dasar dan rang undang-undang termasuk belanjawan negara, katanya. - Bernama 

Advertisement