Anda di sini

Jumpa telur 'luar biasa' selepas menyembelih ayam tua untuk Gawai Antu

Advertisement
John (kanan), Vincent (tengah) serta keluar terdekat menunjukkan penemuan telur ayam yang luar biasa ketika Upacara Gawai Antu di Rumah Imba, Sungai Passin, Selasa lepas.
John (kanan), Vincent (tengah) serta keluarga terdekat menunjukkan penemuan telur ayam yang luar biasa ketika Upacara Gawai Antu di Rumah Imba, Sungai Passin, pada Selasa.

SIBU: Penduduk Rumah Imba Selat di Sungai Passin, Daro gempar selepas menjumpai sebiji telur ayam luar biasa selepas menyembelih seekor ayam tua untuk kegunaan Upacara Gawai Antu di rumah panjang itu pada Selasa.

Telur yang bersaiz sangat besar jika dibandingkan dengan telur ayam biasa itu dijumpai selepas ayam itu digunakan untuk sesi 'Ngeradang Jalai' sekitar pukul 6 petang sebagai memohon keberkatan untuk menjalankan Gawai Antu pada sebelah malam.

Ayam tua berkenaan dibawa bersama oleh tiga orang penduduk lain yang menjalankan sesi tersebut di sepanjang bahagian ruai rumah panjang itu yang mempunyai kira-kira 58 pintu.

Selesai sesi tersebut, tiga orang penduduk berkenaan telah menyerahkan ayam terbabit kepada John Aut, 54, yang ditugaskan untuk menyembelih ayam itu.

"Pada pukul 7.30 malam, saya menyembelih ayam terbabit seperti biasa dan apabila saya membelah di bahagian perutnya dan menarik saluran (usus) telurnya alangkah terkejutnya saya apabila menemui sebiji telur yang amat luar biasa.

"Saya memanggil penduduk yang lain untuk melihat sendiri dan masing-masing menganggap penemuan itu adalah amat luar biasa," ujarnya kepada Utusan Borneo.

Telur ayam luar biasa (kiri) diletakkan di sebelah telur ayam biasa untuk perbandingan

Beliau memberitahu, ini adalah kali pertamanya melihat telur ayam yang sangat besar dari kebiasaan sepanjang hayatnya.

"Lepas itu, saya memaklumkan penemuan itu kepada keluarga yang menjalankan Upacara Gawai Antu itu iaitu Vincent Rajau, 34, untuk tindakan lanjut," katanya lagi.

Vincent ketika ditemui turut menganggap penemuan itu adalah sangat luar biasa dan bercadang untuk menyimpan telur berkenaan.

"Kami menjalankan upacara khas mengikut adat Iban berkenaan dengan telur terbabit dan berharap ia boleh membawa tuah kepada kami semua.

"Justeru, kami mahu menyimpan sahaja telur berkenaan untuk kegunaan masa akan datang mana tahu ia boleh membawa tuah dan memberi azimat kepada kami semua," jelasnya lagi.

Telur yang sangat unik itu agak berlainan dari telur biasa kerana ia seolah-olah seperti telur angsa dan ia terpulang kepada seseorang untuk menilai penemuan telur berkenaan.

Apa yang menarik, telur itu adalah sangat unik dan luar biasa kerana amat jarang-jarang ditemui sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement