Anda di sini

‘HENTIKAN!’ pengeboman di Idlib: Trump

Advertisement
 Anggota Pertahanan Awam Syria mengangkat lelaki yang cedera dengan pengusung ketika penduduk melarikan diri selepas pengeboman ke atas bandar Maaret al-Numan di wilayah Idlib yang dikuasai pejuang jihad semalam. — Gambar AFP
MANGSA BOM: Anggota Pertahanan Awam Syria mengangkat lelaki yang cedera dengan pengusung ketika penduduk melarikan diri selepas pengeboman ke atas bandar Maaret al-Numan di wilayah Idlib yang dikuasai pejuang jihad semalam. — Gambar AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump kelmarin memberitahu Syria dan Rusia agar menghentikan pengeboman terhadap kubu kuat terakhir pejuang jihad di Idlib, Syria.

“Mendengar berita bahawa Rusia, Syria dan satu lagi pihak lain, Iran, sedang mengebom dengan teruk wilayah Idlib di Syria, dan secara rambang telah membunuh ramai orang awam yang tidak bersalah. Dunia sedang memerhati pembunuhan kejam ini. Apakah tujuannya, apakah hasilnya kepada anda? HENTIKAN!,” katanya di Twitter sejurus sebelum beliau berlepas bagi lawatan negara ke Britain.

Komen beliau muncul selepas NGO Syria pada Jumaat lepas mengutuk pihak antarabangsa yang tidak bertindak dalam berdepan dengan keganasan yang meningkat di wilayah barat laut itu.

Selain membunuh beberapa orang awam, pengeboman terbaharu oleh pasukan tentera Syria dan Rusia di barat laut Syria telah mendesak 300,000 orang menuju ke arah sempadan Turki, kata  pihak NGO dalam sidang media di Istanbul.

Syrian Observatory for Human Rights menyatakan pada Jumaat lepas bahawa hampir 950 orang terkorban dalam pertempuran terbaharu di Idlib.

Satu perjanjian pada September lepas sepatutnya mencegah serangan rejim secara besar-besaran ke atas wilayah dan kawasan berhampiran yang ditawan oleh bekas sekutu Al-Qaeda di Syria, Hayat Tahrir al-Sham.

Namun pejuang jihad telah menolak untuk meninggalkan kawasan itu, dan perjanjian berada di ambang kegagalan ketika pasukan tentera Syria dan Rusia yang bersekutu dengan Presiden Syria Bashar al-Assad me-ningkatkan serangan udara dan tembakan roket.

Pejuang Iran dan pasukan separa tentera Hizbullah telah turut ditempatkan di Syria bagi membantu rejim Assad.

Keganasan yang bertambah buruk di Idlib muncul seiring dengan ketegangan yang meningkat antara Iran dan AS.

Ketegangan telah semakin membahang sejak AS pada tahun lepas berundur daripada perjanjian nuklear 2015 yang dicapai oleh Iran bersama dengan kuasa-kuasa utama dunia. — AFP

Advertisement