Anda di sini

APMM tingkatkan pemeriksaan untuk keselamatan menjelang Aidilfitri

Advertisement
 Anggota APMM memeriksa feri Labuan berlepas ke Menumbok. — Gambar Bernama
RUTIN HARIAN: Anggota APMM memeriksa feri Labuan berlepas ke Menumbok. — Gambar Bernama

LABUAN: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia  (APMM) Labuan  akan meningkatkan langkah pemeriksaan keselamatan semasa cuti panjang Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini serta kegiatan penyeludupan.

Sebuah bot laju dari Labuan menghala Sipitang dan Menumbok di tanah besar telah ditahan di tengah lautan pagi ini di mana setiap 10 penumpang termasuk, krew dan juragan diperiksa dengan teliti.

Selain bot, setiap feri yang akan berlepas dari Labuan ke Menumbok juga diperiksa dan manifes diteliti bagi menetukan operator feri membawa penumpang dan kenderaan mengikut had beban dan kapasiti.

Ketua Penguatkuasa APMM Labuan Kapt Maritim Che Adnan Md Isa berkata pemeriksan mengejut dilakukan bagi menentukan operator boat penumpang serta feri mematuhi sepenuhnya prosedur keselamatan.

“Kita tidak mahu ada laporan tentang bot dan feri terlebih muatan terutama pada musim perayaan ini kerana soal keselamatan penumpang sangat penting.

“Lebih banyak pemeriksaan dilakukan terhadap feri dan bot termasuk pemeriksaan terhadap keadaan umum kenderaan itu serta memastikan alat memadam kebakaran serta peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Agensi itu menyeru semua pihak termasuk syarikat perkapalan serta pengusaha feri dan  terminal agar memainkan peranan bagi mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini di tengah lautan.

Che Adnan berkata pemeriksaan mengejut akan diteruskan sehingga musim perayaan berakhir dan menambah kehadiran anggota penguatkuasa di lapangan akan ditambah  bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan di kalangan semua pihak. — Bernama

Advertisement