Anda di sini

Warisan lulus lebih 200 ribu ahli setakat ini

Advertisement
SHAFIE (duduk, dua kiri ) menunjukkan kad keahlian Warisan yang akan diberi kepada ahli baharu ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan. Turut kelihatan Jaujan (kanan), Peter (dua kanan) serta sebahagian AMT Warisan.
SHAFIE menunjukkan kad keahlian Warisan yang akan diberi kepada ahli baharu ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan. Turut kelihatan Jaujan (kanan), Peter (dua kanan) serta sebahagian AMT Warisan.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) setakat ini meluluskan lebih 200,000 ahli baharu melibatkan 26 bahagian di negeri ini.

Presidennya Datuk Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya juga sedang dalam proses meluluskan 50,000 permohonan ahli lagi.

"Kita akan keluarkan kad keahlian mereka (ahli yang sudah lulus) mengikut format kad yang dilancarkan.

"Kita harap peningkatan jumlah keahlian ini dapat memastikan kekuatan parti kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Warisan, di sini pada Ahad.

Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata pihaknya bukan hanya meneliti secara mendalam berkaitan jumlah keanggotaan, bahkan juga melibatkan nilai yang ada pada setiap ahli baharu.

"Adalah menjadi keutamaan kepada kepada kita supaya mereka betul-betul memiliki nilai ikatan perjuangan parti yang bukan berlandaskan untuk sesuatu perkara.

"Tapi dengan niat baik yang menginginkan kerajaan dan perjuangan mampan bersama parti Warisan supaya dapat dijayakan," katanya.

Pada majlis sama, Shafie turut mengumumkan pelantikan sembilan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan yang baharu.

Antara mereka termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi, Datuk Rozman Isli, Datuk Richard Gunting, Paul Voon, Datuk Douglas Lind, Dr Julian Sidin, Datuk Michael Tambakau, Datuk Yusof Yacob sebagai Ketua Penerangan dan Ariffin Asgali sebagai Setiausaha Kerja.

Manakala jawatan Setiausaha Agung kekal disandang Loretto Padua Jr, Bendahari Agung Terence Siambun, Ketua Wira  Datuk Mohd Azis Jamman, Ketua Wanita Siti Aminah Jabarkhan, Ketua Wirawati Isnaraissah Munirah Majilis, dan Pengerusi Tetap Datuk VK Liew.

Selain itu, mesyuarat juga membincangkan hala tuju parti, pengurusan pentadbiran kerajaan negeri dan usaha memperkasa serta meningkatkan keahlian parti.

Sementara itu, Shafie yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata kerajaan negeri akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Kerajaan Pusat berkaitan cadangan penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam usaha mengurangkan kos operasi.

"Apa yang penting adalah keberhasilan gerak kerja Esscom di peringkat negeri ini memandangkan isu keselamatan amat kita utamakan.

"Kita akan pastikan beri kerjasama baik dalam apa juga perubahan atau penstrukturan semula yang dikemukakan kelak oleh Kerajaan Pusat," katanya.

Hadir sama dua Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Peter Anthony.

Advertisement