Anda di sini

Trak bertembung bas lalu terbakar, 21 maut di Mexico

Advertisement
 Kakitangan penyelamat menjalankan tugas di tempat kejadian di Coatzacoalcos, negeri Veracruz kelmarin. — Gambar AFP
TRAGEDI: Kakitangan penyelamat menjalankan tugas di tempat kejadian di Coatzacoalcos, negeri Veracruz kelmarin. — Gambar AFP

COATZACOALCOS: Sebuah kenderaan separa trak dan sebuah bas yang membawa penumpang balik daripada ziarah ke sebuah tempat suci Katolik telah berlanggar dan terbakar kelmarin di timur Mexico, seterusnya membunuh sekurang-kurangnya 21 orang.

Seramai 30 lagi cedera.

Kebanyakan mangsa merupakan penziarah dari negeri selatan Chiapas yang sedang dalam perjalanan balik dari lawatan ke Kota Mexico untuk bersembahyang di Basilika ‘Virgin of Guadalupe’, santa penaung negara, kata ketua Jabatan Pelindungan Awam bagi negeri Veracruz, Guadalupe Osorno.

“Pakar forensik di tempat kejadian melaporkan 17 mayat penumpang yang menaiki bas, dan dua orang lagi yang maut dalam kenderaan separa trak,” katanya.

“Seorang individu sudah mati ketika dia tiba di hospital, manakala seorang lagi yang berada dalam keadaan serius meninggal dunia.”

Keuskupan agung Katolik di Tuxtla Gutierrez, di Chiapas, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan.

“Kami amat menyesali kematian yang disebabkan oleh nahas ini dan sama-sama merasai penderitaan yang dialami keluarga mereka,” katanya.

Nahas itu berlaku di sebatang lebuh raya di sebuah wilayah yang dikenali sebagai bukit bukau Maltrata, di mana jalan berliku-liku antara bukit yang mencapai ketinggian lebih 2,000 meter di atas paras laut.

Pegawai kecemasan di tempat kejadian berkata, salah sebuah kenderaan rosak brek ketika menuruni bukit lalu melanggar kenderaan yang satu lagi, menyebabkan kedua-duanya terbakar dan meninggalkan bas dalam keadaan rangka hangus yang terbalik.

Penyelamat dan pekerja forensik membawa mayat selepas menutupinya.

Pada 2006, lebih 50 penganut Kristian Injil maut di wilayah yang sama apabila bas mereka terjunam ke dalam gaung.

Pihak berkuasa berkata, kemalangan itu juga disebabkan oleh kerosakan brek. — AFP

Advertisement